Rabu, 13 March 2019 | 8:37am
PEP Guardiola. - Foto Reuters
PEP Guardiola. - Foto Reuters

Guardiola gesa keputusan VAR dipercepat

MANCHESTER: Pep Guardiola menyokong penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) tetapi pengurus Manchester City itu menggesa supaya keputusan yang diperoleh daripada sistem berkenaan dipercepatkan.

Ia susulan kemenangan besar 7-0 skuad kendaliannya ke atas Schalke 04 dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi dengan tiga gol tuan rumah terpaksa diteliti terlebih dahulu menerusi VAR.

Gol Sergio Aguero, Leroy Sane dan Raheem Sterling mengambil masa yang lama untuk disahkan selepas ia tampak seperti ofsaid dengan satu lagi gol yang dijaringkan Sane turut dibatalkan.

Keputusan itu mencetus berang segelintir peminat di Etihad yang terpaksa menunggu masa yang agak lama sebelum pengadil mengesahkan atau membatalkan jaringan berkenaan.

VAR turut memainkan peranan penting pada aksi pertama peringkat 16 terbaik bulan lalu selepas Schalke dianugerahkan dua penalti di Gelsenkirchen tetapi mereka tewas 3-2 apabila City meraih dua gol lewat.

“Mereka perlu lebih pantas sedikit untuk membuat keputusan tetapi ia adil,” kata Guardiola yang mahu Liga Perdana Inggeris menggunakan VAR musim ini.

“Ada dua penalti yang tidak memihak kami berpunca daripada VAR di Jerman tetapi pada akhirnya ia adil. Pada akhirnya, ia adalah apa yang kami mahukan.

“Harapnya ini yang boleh berlaku dalam Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Saya gembira dengan VAR. Harapnya ia boleh dipercepatkan (keputusan) berbanding pada hari ini.

“Saya suka jika pasukan yang layak menang dan mara. Kadang kala kamu tidak mara disebabkan oleh keputusan yang salah. Ia membantu pengadil untuk mendapatkan keputusan yang adil.” - AFP

Berita Harian X