Khamis, 7 March 2019 | 8:24am
ALEX Telles (kanan) meraikan jaringan gol bersama Moussa ketika menentang pasukan AS Roma. - Foto AFP
ALEX Telles (kanan) meraikan jaringan gol bersama Moussa ketika menentang pasukan AS Roma. - Foto AFP

Porto sekat langkahan Roma

PORTO: Penalti Alex Telles hasil reviu penolong pengadil video (VAR) pada masa tambahan membantu FC Porto mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mennag dengan agregat 4-3 selepas menewaskan AS Roma 3-1 di Estadio do Dragao awal pagi tadi.

Terdahulu, Francisco Soares meletakkan Porto di depan pada minit ke-26, namun Daniele De Rossi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum rehat selepas Eder Militao menjatuhkan Diego Perotti.

Moussa Marega kembali meletakkan Porto di depan pada awal babak kedua untuk terikat 3-3 secara agregat apabila dia menyumbat gol keenam berturut-turut pada penampilan di Eropah.

Tambahan setengah jam diperlukan untuk menentukan keputusan aksi kedua, pusingan 16 terakhir itu yang kelihatan beakhir ke penentuan sepakan penalti sebelum Telles merembat masuk sepakan penalti pada minit ke-117 selepas Alessandro Florenzi menarik Fernando dan memerlukan ulang tayang sistem VAR.

Jurulatih Porto, Sergio Conceicao, bekas pemain di kelab musuh setempat Roma, Lazio, menegaskan pasukannya perlu bersabar untuk mengatasi defisit 1-2 selepas aksi pertama di Rome.

Ketika penentuan penalti semakin menghampiri, Porto bagaimanapun meraih gol kemenangan dramatik selepas pengadil dari Turki, Cuneyt Cakir mengarahkan sepakan penalti susulan reviu insiden itu yang menyaksikan Florenzi menjatuhkan Fernando dari belakang ketika pemain gantian itu cuba menyambut hantaran leret.

Telles mengelirukan penjaga gol Roma, Robin Olsen untuk membantu Porto layak ke suku akhir kali pertama sejak 2014-15, sekalipun tuan rumah berdepan saat mendebarkan apabila penyerang Roma, Patrik Schick dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum Cakir memutuskan tiada kekasaran. – AFP

Berita Harian X