Ahad, 17 Februari 2019 | 1:26pm
Pemain Derby County, Ashley Cole (kiri) bersaing dengan pemain Brighton and Hove Albion, Alireza Jahanbakhsh pada perlawanan Piala FA. - Foto Reuters
Pemain Derby County, Ashley Cole (kiri) bersaing dengan pemain Brighton and Hove Albion, Alireza Jahanbakhsh pada perlawanan Piala FA. - Foto Reuters

Cole akhiri kemarau gol Piala FA

LONDON: Bekas pertahanan Chelsea dan England, Ashley Cole menjaringkan gol Piala FA pertamanya tetapi ia tidak mencukupi untuk kelab Liga Kejuaraan Derby County mara ke suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Brighton and Hove Albion.

Cole yang tidak pernah menjaringkan gol dalam bola sepak Inggeris sejak tahun 2012,  masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol pada lewat permainan selepas lawan dari Liga Perdana itu mendahului dua gol hasil jaringan Anthony Knockaert dan Juergen Locadia.

Bek kiri veteran itu, juara tujuh kali Piala FA, menyertai Derby yang diuruskan bekas rakan sepasukan Chelsea, Frank Lampard, pada Januari selepas meninggalkan LA Galaxy tahun lalu.

“Saya tumpang gembira untuknya. Dia bekerja keras untuk kecergasannya dan kami memberikannya 45 minit,” kata Lampard.

“Ia bukan situasi yang sempurnya tetapi ia bagus untuknya. Dia tampak tenang dan masih ada kelas.”

Pengendali Brighton Chris Hughton melakukan lapan pertukaran ke atas skuadnya dengan keutamaan adalah mengelak daripada tercicir ke zon penyingkiran Liga Perdana selepas hanya menang sekali daripada 11 perlawanan.

“Anda boleh mempunyai impian,” kata Hughton yang pernah menjuarai Piala FA sebagai pemain Tottenham Hotspur.

“Realitinya ialah salah satu daripada enam pasukan teratas yang sentiasa memenangi kejuaraan ini, bagi pasukan seperti kami sasarannya ialah mara sejauh mungkin. Suku akhir cukup besar bagi kelab ini.” – REUTERS

 

 

Berita Harian X