X
Khamis, 7 Februari 2019 | 10:33am
GLENN Murray. - Foto Reuters
GLENN Murray. - Foto Reuters

Ledakan Murray ceriakan Brighton

LONDON: Glenn Murray membantu Brighton ke pusingan kelima Piala FA selepas penyerang veteran itu menyumbat dua gol dalam masa kecederaan bagi menjamin kemenangan 3-1 ke atas West Bromwich Albion.

Murray dimasukkan sebagai pemain gantian untuk membolehkan Brighton mengatasi lawan mereka di Liga Kejuaraan dalam aksi pusingan keempat yang penuh dramatik.

Jaringan lewat dari Kyle Bartley meletakkan West Brom di landasan tepat untuk meraih kemenangan ke atas lawan mereka yang beraksi di Liga Perdana Inggeris itu.

Namun, pemain Brighton, Florin Andone menyamakan kedudukan pada baki lapan minit terakhir selepas dia nyaris dilayangkan kad merah kerana menyiku Sam Field.

Murray selepas itu mengambil tanggungjawab untuk meletakkan Brighton di depan dan dijadual bertemu Derby, minggu depan.

Hanya 8,645 penyokong hadir pada malam yang sejuk di Midlands, namun tidak terlepas pertembungan menarik itu meskipun kedua-dua pengendali pasukan melakukan beberapa perubahan dalam pasukan.

"Kami gembira dapat melangkah mara tetapi kami memilih laluan sukar untuk meraih kemenangan ini," kata pengendali Brighton, Chris Hughton. "Kami berada di kedudukan yang baik tetapi kami tercicir 0-1 dan keadaan itu boleh dikatakan seperti sebelum-sebelum ini.

"Kamu memerlukan satu gol untuk bangkit semula dan kemudian kedudukan terikat itu berubah... kami menunjukkan kualiti dimiliki. Saya tahu kami mampu berusaha sehingga penghujung permainan tetapi kami mensia-siakan peluang sebelum itu."

Mengulas mengenai prestasi Murray, Hughton berkata: "Dia dibawa masuk dan mahu mencetuskan impak dalam permainan dan itu yang berlaku." – AGENSI

Berita Harian X