Ahad, 3 Februari 2019 | 1:33pm
PENYERANG JDT, Syafiq Ahmad (kiri) diasak pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim (kanan) pada aksi Piala Sumbangsih 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
PENYERANG JDT, Syafiq Ahmad (kiri) diasak pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim (kanan) pada aksi Piala Sumbangsih 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Figueroa rayu pengadil lindungi pemain

 

JOHOR BAHRU: Saingan Liga Super musim 2019 menyingkap tirai dengan aksi pertama malam tadi namun mutu pengadilan membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Perak pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin menimbulkan seribu persoalan.

Apa tidaknya, beberapa kekasaran yang boleh menyebabkan karier pemain bola sepak berakhir bagaikan tidak diendah pengadil, Zulkarnain Zakaria yang langsung tidak mengambil tindakan terhadap Amirul Azhan Aznan yang menendang pemain import JDT, Diogo Luis Santo pada minit ke-79.

Malah insiden pertama pada minit ke-31 selepas Brendan Gan melakukan terjahan keras dari belakang Natxo Insa hingga menyebabkan pemain itu terpaksa dikeluarkan hanya sekadar dilayangkan kad kuning.

Pengurus yang juga ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa hanya mampu menggeleng kepala tatkala berada di tepi padang dan ketika sidang media beliau tampak enggan mengulas lanjut mengenai mutu pengadilan kerana sedar implikasi bakal dihadapi seandai mengkritik pengadil.

Namun beliau menaruh harapan supaya pengadil ditugaskan mengadili aksi liga elit domestik lebih peka dan  melindungi pemain daripada menjadi mangsa terjahan keras melampau.

"Tolonglah lindungi pemain. Itu masalah saya kira bukan pasukan JDT saja hadapi tetapi semua pemain yang beraksi pada saingan liga. Sepatutnya pengadil pantas melayangkan kad kepada pemain yang melakukan kekasaran.

"Apa pun saya tidak mahu ulas lanjut. Harap ada perubahan yang lebih positif buat pengadil pada aksi masa depan. Malah saya amat gembira dengan kemenangan 1-0 menewaskan Perak dan mengekalkan Piala Sumbangsih," katanya.

Mengulas keseluruhan permainan skuad Harimau Selatan, Figueroa menegaskan aksi babak pertama lebih menarik berbanding babak kedua tatkala menguasai keseluruhan permainan dan  berpeluang menjaringkan gol.

Katanya, pada babak kedua, beberapa kesilapan dilakukan pemain JDT dengan membenarkan Perak menguasai perlawanan dan hampir menjaringkan gol namun pujian kepada benteng pertahanan yang konsisten sepanjang 90 minit perlawanan.

"Adam (Nor Azlin) beraksi dengan baik, walaupun pada musim lalu dia tidak diturunkan namun tidak kekok untuk mengemudi benteng pertahanan bersama Mauricio (Dos Santos Nascimento) sehingga menyukarkan penyerang Perak.

"Pada keseluruhannya, setiap pemain JDT mengikut perancangan taktikal dan kami akan perbaiki beberapa kelemahan untuk berdepan Kuala Lumpur, Jumaat ini dan kemungkinan juga Diogo (Luis Santo) sudah bersedia mengharungi 90 minit perlawanan," kata Figueroa.

Berita Harian X