Jumaat, 1 Februari 2019 | 9:47pm
Kapten JDT, Hariss Harun (dua dari kiri) dan kapten Perak, Shahrul Mohd Saad (dua dari kanan) menunjukkan piala yang dipertandingkan sambil diperhatikan ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa (kiri) dan jurulatih Perak, Mehmed Durakovic (kanan) ketika sidang media Piala Sumbangsih 2019 di Johor Bahru. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Kapten JDT, Hariss Harun (dua dari kiri) dan kapten Perak, Shahrul Mohd Saad (dua dari kanan) menunjukkan piala yang dipertandingkan sambil diperhatikan ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa (kiri) dan jurulatih Perak, Mehmed Durakovic (kanan) ketika sidang media Piala Sumbangsih 2019 di Johor Bahru. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JDT turun tanpa kelibat Diogo

JOHOR BAHRU: Pemain import baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Diogo Luis Santo kemungkinan besar tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Perak pada aksi Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa mengesahkan Santo masih mengalami kecederaan ketika aksi pra-musim skuad Harimau Selatan di Thailand baru-baru ini, namun pemain itu tampak bersemangat untuk pulih supaya dapat diturunkan pada aksi pertama saingan Liga Super.

Figueroa berkata, peluang Santo beraksi masih 50-50 dan pemain itu masih menjalani rawatan dan dalam proses pemulihan namun belum pasti sekiranya dia dapat diturunkan pada aksi menentang skuad The Bos Gaurus.

"Diogo masih cedera, dia berusaha untuk pulih dan nampak sifat profesionalnya cuba pulih sebelum perlawanan menentang Perak, kami harap dia bersedia 100 peratus dan jika dia tidak bersedia kami akan merehatkannya,” kata Figueroa.

"Kami tidak mahu ambil risiko untuk menyenaraikan Diogo dalam kesebelasan utama jika dia masih cedera kerana JDT akan berdepan saingan liga yang panjang dan khidmatnya amat diperlukan pada aksi seterusnya.

"Selain Diogo, kami kehilangan Gary Steven Robbat akibat kecederaan dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan namun senario itu tidak merisaukan kerana kami mempunyai ramai pemain yang lengkap dan sedia untuk beraksi."

Menurut Figueroa, pemain import baharu, Aaron Niguez dan Mauricio Santos Nascimento membentuk kombinasi mantap bersama pemain tempatan dan memahami corak permainan serta falsafah yang diterapkan, malah segala kelemahan ketika pra-musim di Thailand sudah diatasi. 

"Saya akui agak pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama kerana kesemua pemain JDT menunjukkan prestasi memberangsangkan dan ia sebenarnya satu kelebihan untuk pasukan kerana tidak berdepan masalah menurunkan pemain terbaik.

"Di benteng pertahanan Mauricio akan diturunkan tetapi belum pasti lagi siapa akan bergandingan bersamannya sama ada Adam Nor Azlin atau Aidil Zafuan Abd Radzak kerana kedua-dua pemain itu tampak serasi dengan Mauricio. Kita tunggu sahaja esok," katanya.

Berita Harian X