Jumaat, 25 Januari 2019 | 12:33pm
Pochettino mendakwa peraturan baharu dalam kancah Piala Liga mengakibatkan skuad kendaliannya disingkirkan. - Foto AFP
Pochettino mendakwa peraturan baharu dalam kancah Piala Liga mengakibatkan skuad kendaliannya disingkirkan. - Foto AFP

Peraturan baharu singkir Spurs - Pochettino

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino mendakwa peraturan baharu dalam kancah Piala Liga mengakibatkan skuad kendaliannya disingkirkan Chelsea menerusi penentuan penalti di peringkat separuh akhir.

Ketika Spurs memperoleh kelebihan 1-0 susulan kemenangan pada aksi pertama, gol daripada N'Golo Kante dan Eden Hazard mengubah defisit berkenaan sebelum tandukan Fernando Llorente mengembalikan kedudukan terikat 2-2 secara agregat.

Begitupun, disebabkan kegagalan Eric Dier dan Lucas Moura menyempurnakan penentuan penalti, Tottenham tewas 2-4 kepada Chelsea.

Peraturan lama Piala Liga sebelum ini akan menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan dengan Spurs berpotensi mara jika kedudukan berkesudahan 2-2.

Sekali pun bangga dengan prestasi pasukannya, Pochettino mengakui peraturan baharu itu menjadi punca penyingkiran skuad kendaliannya yang turut dipalit masalah kecederaan.

“Kami datang ke sini untuk cuba dan menang perlawanan dan cuba untuk berada di final,” kata pengurus dari Argentina itu. “Tahniah kepada Chelsea. Saya fikir mereka layak untuk menang.

“Usaha kami amat menakjubkan. Pada musim ini, kami bukan saja bertarung dengan pihak lawan, tetapi dengan segala-galanya yang berlaku. Tetapi ia bukan alasan. 

“Ia menjadikan kami lebih kuat. Kami masih memiliki tiga kejohanan. Kami tiba di separuh akhir dan tewas kepada Chelsea, salah satu pasukan terbaik di Eropah.”

“Saya hanya boleh berbangga dengan prestasi dan dengan cara kami mengharunginya. Apabila kamu tiba dengan situasi seperti ini, kamu perlu berjuang. Kami melakukannya dalam kedua-dua aksi timbal balik.” - Agensi

Berita Harian X