Jumaat, 25 Januari 2019 | 11:41am
Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri. - Foto EPA
Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri. - Foto EPA

Kemaraan ke final tingkat semangat Sarri

LONDON: Maurizio Sarri berharap kemenangan Chelsea ke atas Tottenham menerusi penentuan penalti untuk mara ke final Piala Liga menjadi titik perubahan buat skuad kendaliannya pada musim ini.

Sarri yang menyertai Blues pada musim ini mempersoalkan kekuatan mental pemainnya dan menuntut pemain bintang, Eden Hazard menonjolkan lebih banyak potensi susulan kekalahan 0-2 kepada Arsenal, minggu lalu.

Chelsea kemudian membalas kritikan itu dengan kemaraan 4-2 menerusi penentuan penalti ke atas Spurs dengan gol kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir kedua yang mengubah defisit kekalahan 0-1 pada aksi pertama di Wembley itu dijaringkan N'Golo Kante dan Hazard pada babak pertama.

Kemenangan menyaksikan Chelsea bertemu penyandang juara, Manchester City di pentas final pada 24 Februari depan.

“Saya fikir pada tiga atau empat perlawanan terakhir, kami berdepan masalah. Satu daripadanya ialah motivasi dan masalah lain adalah pemain berhenti untuk bergembira di atas padang,” kata Sarri. “Kini dengan prestasi dan keputusan, kami boleh mendapatkan kembali semangat kami.”

Sarri sebelum ini dikritik susulan tindakannya membariskan Hazard di posisi yang kurang digemari pemain Belgium itu tetapi bekas pengurus Napoli itu mengakui fokusnya adalah terhadap mentaliti pasukannya berbanding taktik.

“Dia (Hazard) bermain dengan cukup baik, perlawanan yang menakjubkan,” kata Sarri yang kembali meletakkan Hazard ke bahagian sayap pada perlawanan dengan Spurs. 

“Saya fikir pada perlawanan ini, kami bermain dengan minda yang betul, motivasi dan keinginan yang berbeza. Saya fikir kualitinya lebih penting berbanding posisi.”

Hazard dalam pada itu jelas tidak berminat untuk menjawab dakwaan Sarri, sebelum permainan yang menuduhnya bukan pemimpin di atas padang.

“Saya tidak kisah. Saya hanya bermain,” katanya. “Apa yang pengurus cakap tidak penting. Saya hanya fokus terhadap permainan saya dan melakukan yang terbaik untuk pasukan.” - AFP

Berita Harian X