Selasa, 22 Januari 2019 | 4:24pm

Pahang perkenal pemain, jersi baharu Ahad ini

KUANTAN: Pahang akan mengadakan majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi skuad Tok Gajah di Dewan Tun Razak, Temerloh, Ahad ini.  Pengurus Besar Pemasaran Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, Mizal Ghazali berkata, penyokong Tok Gajah boleh datang memeriahkan majlis yang akan diadakan pada jam 2 petang. 

"Bermula musim ini dan 2020, Al-Ikhsan Sport menjadi penaja kepada Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) dengan jumlah keseluruhan tajaan RM1.6 juta iaitu RM800,000 bagi satu musim. 

"Sebanyak 90 peratus nilai tajaan berkenaan lebih kepada barangan sukan berjenama Umbro yang diharap dapat membantu Pahang melakar kejayaan membanggakan musim ini. 

"Sebenarnya, Al-Ikhsan Sport sudah lama ingin bekerjasama dengan PBNP dan terima kasih di atas persetujuan yang diberikan," katanya. 

Musim ini, Pahang bukan sahaja menampilkan empat import baharu, malah menyenaraikan kembali penyerang, Dickson Nwakaeme yang pernah membantu skuad itu menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014. 

Pada masa sama, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh sah didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Berita Harian X