Khamis, 17 Januari 2019 | 8:34am
Petr Cech. - Foto Reuters
Petr Cech. - Foto Reuters

Peranan baru Cech di Stamford Bridge

LONDON: Chelsea sedia menawarkan peranan penting kepada bekas penjaga gol mereka, Petr Cech selepas dia menamatkan karier bola sepaknya pada penghujung musim ini.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu mengumumkan persaraannya, kelmarin.

Dia menghabiskan masa 11 tahun di Chelsea dan merangkul 13 trofi termasuk Liga Juara-Juara dan empat kejuaraan Liga Perdana sebelum menyertai Gunners pada 2015. Chelsea berminat mengekalkan hubungan baik dengan bekas pemain mereka yang menyumbang kepada kejayaan kelab.

Bekas penyerang, Didier Drogba dan pemain tengah, Joe Cole kini berkhidmat bersama Chelsea.

Cech menyertai Chelsea dari Rennes pada 2004 dan pantas mencipta impak dengan kelab barat London apabila mencipta rekod baru dengan 228 aksi tanpa bolos dalam semua kejohanan.

Bekas pemain antarabangsa Republik Czech itu tinggal berhampiran kompleks latihan di Surrey dan mempunyai hubungan baik dengan pemilik kelab, Roman Abramovich.

The Times melaporkan Cech mungkin ditawarkan bidang kejurulatihan atau peranan duta.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk pemain itu membuat pilihan tetapi dia tahu Chelsea mahu menggunakan khidmatnya.

Selepas mengumumkan persaraan, Cech berkata: "Saya teruja menghadapi kehidupan di luar padang. Selepas 15 tahun di Liga Perdana dan menjulang banyak trofi, saya rasa telah mencapai sasaran.

"Saya akan terus bekerja keras di Arsenal dan berharap menang satu lagi trofi musim ini.” - AGENSI

Berita Harian X