Selasa, 15 Januari 2019 | 7:13pm
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon - Foto Faiz Anuar
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon - Foto Faiz Anuar

German akan bantu Segovia

KUALA LUMPUR: Kehadiran bekas penyerang Queens Park Rangers, Antonio German dalam skuad Selangor dijangka mampu membantu penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon berkata kehadiran pemain berusia 27 tahun itu akan memperkasakan jentera serangan yang bakal diterajui bersama Segovia.

"Kami gembira dapat mengekalkan pemenang kasut emas, Segovia. Tapi dengan adanya German, apabila digandingkan dengan Segovia, ia akan mamantapkan lagi bahagian serangan.

"Dia (German) mampu beraksi baik bagi membantu mengatasi kekurangan Segovia," katanya.

Johan turut mendedahkan Selangor beruntung apabila mendapatkan German selepas pemain itu menolak tawaran PKNP sebelum ini.

"PKNP mengujinya, dia beraksi baik pada perlawanan menentang Pulau Pinang apabila menjaringkan dua gol. Namun ketika mereka menawarkan kontrak kepadanya, dia kurang berpuas hati dengan tawaran mereka.

"Ejennya kemudian berbincang dengan jurulatih, B Sathianathan dengan dia diberikan tempoh percubaan tiga minggu. Jurulatih kagum dengan prestasinya, sebab itu kami mendapatkan khidmatnya," kata Johan.

Selain itu, Johan berkata jersi ketiga Red Giants yang dilancarkan bulan lalu sudah lebih 3,000 terjual melalui FAS sahaja manakala pengedar yang sah sudah menjual lebih daripada 7,000 helai.

"Kami akan melancarkan jersi tuan rumah dan gelanggang lawan pada 26 Januari ini serta pas bermusim. Ini penting kerana ia sebahagian daripada perancangan kami untuk memastikan peminat memenuhi stadium dan saya jamin harga ditawarkan berpatutan," katanya.

Berita Harian X