Selasa, 1 Januari 2019 | 10:57pm
REMBATAN kaki kiri penyerang Leicester, Jamie Vardy (kanan) menerjah masuk ke gawang Everton pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, hari ini. - Foto REUTERS
REMBATAN kaki kiri penyerang Leicester, Jamie Vardy (kanan) menerjah masuk ke gawang Everton pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, hari ini. - Foto REUTERS

Gol Vardy julang Leicester

LONDON: Jaringan tunggal Jamie Vardy pada babak kedua permainan cukup buat Leicester untuk menewaskan Everton 1-0 di Goodison Park yang menjadi perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris pada 2019.

Kemenangan menyaksikan Leicester mendaki ke tangga ketujuh liga dengan Everton dipalit kekalahan keempat dalam lima perlawanan terakhir.

Bos Leicester, Claude Puel melakukan empat perubahan dalam pasukannya yang tewas kepada Cardiff City, Sabtu lalu termasuk meninggalkan pemain tengah, James Maddison di bangku simpanan.

Rakan sejawatnya, Marco Silva juga membuat beberapa perubahan susulan kekalahan kepada Brighton & Hove Albion dengan menyenaraikan semula Richarlison dalam kesebelasan utama Everton.

Selepas permainan berlangsung agak hambar pada babak pertama, gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-58 apabila pertahanan Everton, Michael Keane gagal mengawal bola dengan baik sebelum ia dirampas pemain Leicester, Ricardo Pereira yang kemudian membuat lorongan baik kepada Vardy.

Penyerang England itu tidak melakukan sebarang kesilapan apabila melakukan rembatan rendah melepasi penjaga gol tuan rumah, Jordan Pickford sebelum meraikan jaringannya di hadapan peminat Leicester.

Gylfi Sigurdsson sepatutnya melepaskan tuan rumah di depan pada babak pertama tetapi gagal menyudahkan peluang dengan pemain Leicester, Harry Maguire turut berupaya meledak gol tetapi rembatannya meliar. - Reuters

Berita Harian X