Jumaat, 28 Disember 2018 | 1:11am
NAIB Presiden KFA Anas Hafiz Mustaffa (kanan) meraikan ketibaan tiga import baharu Kedah, Anmar Al-Mubaraki (tiga dari kanan), Fernando Rodriguez (tiga dari kiri) dan Shakir Hamzah (dua dari kiri) tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar, malam tadi. - Foto IZZALI ISMAIL
NAIB Presiden KFA Anas Hafiz Mustaffa (kanan) meraikan ketibaan tiga import baharu Kedah, Anmar Al-Mubaraki (tiga dari kanan), Fernando Rodriguez (tiga dari kiri) dan Shakir Hamzah (dua dari kiri) tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar, malam tadi. - Foto IZZALI ISMAIL

Trio import Kedah tiba di Darul Aman

ALOR SETAR: Lebih 200 penyokong setia pasukan Kedah hadir menyambut ketibaan tiga pemain import baharu pasukan itu untuk beraksi pada musim 2019 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar malam tadi.

Ketiga-tiga import berkenaan ialah pemain berasal dari Sepanyol Fernando Rodriguez, pemain kelahiran Iraq Anmar Al-Mubaraki dan pemain Singapura, Shakir Hamzah yang disambut meriah sebaik tiba pada 9 malam.

Sambutan yang diaturkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu adalah sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan mereka ke negeri Jelapang Padi dan sebaik tiba, penyokong-penyokong Kedah sempat mendendangkan lagu 'Biar Jasa Jadi Kenangan' sebagai tanda semangat.

Fernando yang akan beraksi di posisi tengah berkata, dia sungguh teruja dengan sambutan yang diterima daripada penyokong Kedah yang hadir penuh semangat.

"Saya mahu lakukan aksi yang terbaik apabila beraksi nanti dan saya harap dapat memberi kejayaan buat Kedah,” katanya.

Bagi Anmar pula, dia sudah tidak sabar beraksi bersama pasukan Kedah dan mahu melakar kejayaan pada musim depan dan memasang impian  menjulang trofi kejuaraan.

Shakir Hamzah pula meluahkan rasa terharu apabila melihat ramai penyokong Kedah hadir menyambut kedatangannya.

"Saya berharap dapat memperkuatkan lagi pasukan Kedah dan tak sabar nak beraksi dalam Liga Malaysia yang akan bermula nanti."

Turut hadir menyambut ketiga-tiga import baharu berkenaan ialah Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa bersama-sama pihak pengurusan serta kakitangan badan induk itu.

Berita Harian X