Selasa, 25 Disember 2018 | 4:32pm
Muhammad Farhan Roslan. - Foto Owee Ah Chun
Muhammad Farhan Roslan. - Foto Owee Ah Chun

Apa nasib 'Messi Kedah'?

ALOR SETAR: Persoalan sama ada pemain sayap lincah, Muhammad Farhan Roslan akan beraksi bersama Helang Merah atau sebaliknya musim depan hanya akan terjawab Khamis ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa berkata, pihaknya akan mengumumkan status ‘Messi Kedah’ itu pada majlis perjumpaan bersama kelab penyokong.

"Ya, kami belum membuat pengumuman mengenai kedudukan Farhan dan kami akan mengumumkan ketika sesi pertemuan dengan kelab penyokong Khamis ini,” katanya hari ini.

Terdahulu, kedudukan pemain yang berasal dari Tandop, Alor Setar berkenaan menjadi tanda tanya apabila KFA meletakkan nama Farhan dalam status perbincangan pada sidang media 22 November lalu.

Namun, sehingga hari ini kedudukan pemain berusia 22 tahun itu bersama pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak tidak pasti sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Helang Merah.

Nama Farhan kembali melonjak musim ini selepas pulih daripada kecederaan lutut tetapi bukan mustahil pemain yang beraksi bersama Kedah sejak 2014 itu mengikuti jejak rakannya seperti Halim Saari, Syazwan Zainon, Ariff Farhan dan Akram Mahinan yang memilih untuk berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Berita Harian X