Ahad, 2 Disember 2018 | 12:58pm
AZAMUDDIN Akil - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
AZAMUDDIN Akil - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Azamuddin tekad balas budi Kedah

KUANTAN: Bekas pemain kebangsaan, Azamuddin Akil mengesahkan Kedah menjadi pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019. 

Pemain berusia 33 tahun itu berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang menerimanya menyarung jersi skuad Helang Merah. 

"Sebaik dimaklumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak melanjutkan kontrak bersama Selangor, saya membuat keputusan untuk bersama Kedah. 

"Saya bersyukur impian tercapai selepas mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi KFA, termasuk ketua jurulatih (Aidil Sharin). 

"Dengan kepercayaan diberikan KFA, saya akan berusaha untuk memberikan komitmen tinggi dalam usaha membantu Kedah meraih kejayaan membanggakan musim hadapan," katanya. 

Bagi memastikan prestasi terbaik dipersembahkan dalam saingan Liga M musim hadapan, Azamuddin atau Alex akan memastikan prestasinya mencapai tahap 100 peratus. 

Katanya, musim ini dia tidak dapat mempamerkan komitmen tinggi atas sebab faktor kecederaan. 

"Tetapi, saya percaya dengan sokongan daripada rakan sepasukan, saya sedia untuk mengembalikan prestasi terbaik seperti bersama Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.   

Berita Harian X