Selasa, 13 November 2018 | 6:30pm
BADDROL Bakhtiar - Foto AMRAN HAMID
BADDROL Bakhtiar - Foto AMRAN HAMID

Kelab penyokong mahu Badd kekal

ALOR SETAR: Sementara menanti pengumuman Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai status pemain musim depan, kelab penyokong negeri itu tampil meluahkan hasrat mahu pemain senior Baddrol Bakhtiar terus kekal bersama Helang Merah.

Tonggak utama Kedah yang tampil 55 perlawanan bersama skuad kebangsaan itu dianggap pemain penting dan patut berada dalam pasukan itu musim depan berdasarkan senioriti, pengalaman dan kejayaan yang diraih selama ini.

Menurut Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Safarizal Mohd Sobri, pihaknya berharap Baddrol dan beberapa pemain senior lain akan kekal pada 2019 berdasarkan pengalaman yang mampu mereka curahkan buat pasukan.

“Khidmat dan kudrat pemain senior mampu membantu meningkatkan perkembangan pemain muda selain mendapatkan keyakinan dan sokongan daripada peminat skuad Hijau Kuning berdasarkan reputasi mereka.

“Saya berasakan pengalaman serta kepakaran mereka ditagih oleh semua dan mereka mampu mengembalikan Kedah muncul antara pencabar terkuat Liga Malaysia musim depan.”

Bagi Setiausaha Kelab Penyokong Baddrol Bakhtiar 7 (BB7 FC), Nur Azreen Azizan Abdullah mereka berharap Baddrol terus berada dalam kesebelasan utama bagi memantapkan cabaran Kedah tahun depan.

“Kami mahu dia kekal di Kedah dan sebagai pemain berpengalaman, dia mampu membimbing pemain muda dan melihat kepada prestasi semasa dia masih mampu melonjak prestasi Kedah.”

Berita Harian X