Selasa, 13 November 2018 | 2:07pm
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kanan) merasmikanWorld Football Summit Asia (WFSA) di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir (dari kiri) Pengarah WFS, Marian Otamendi; Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam; Ketua Pegawai Eksekutif WFS, Mohan Rajaratnam dan Pengarah Urusan SEA La Liga Ivan Codina. - Foto BERNAMA
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kanan) merasmikanWorld Football Summit Asia (WFSA) di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir (dari kiri) Pengarah WFS, Marian Otamendi; Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam; Ketua Pegawai Eksekutif WFS, Mohan Rajaratnam dan Pengarah Urusan SEA La Liga Ivan Codina. - Foto BERNAMA

MFL sedia anjur Piala FAM

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia untuk mengendalikan saingan Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga saingan divisyen tiga sekiranya diminta oleh FAM.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan untuk mengambil alih daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang menganjurkannya sejak 1951.

Bagaimanapun jelas Kevin, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat apa-apa pengesahan mengenai cadangan itu selepas jumlah penyertaan pasukan bagi saingan musim 2019 menimbulkan kebimbangan apabila hanya enam pasukan mengesahkan untuk bertanding daripada 14 pasukan musim ini.

"Saya pun ada dengar khabar angin mengenai isu ini, tapi apapun kita kena tunggu makluman dari FAM.

"Salah satu tugas utama kita (MFL) adalah menganjurkan sesuatu pertandingan liga dan jika kita perlu memberi input atau membantu dalam penganjuran saya rasa tidak ada masalah.

"Divisyen tiga kita itu adalah sebahagian daripada struktur Liga Malaysia, ia juga sebahagian daripada piramid bola sepak negara dan kita kena pastikan bahawa piramid itu stabil.

"Jika kita tak ada liga amatur yang berjaya, ia tidak boleh membantu dan mendorong liga profesional (Liga Super dan Liga Perdana).

"Dalam satu industri bola sepak, kedua-dua elemen ini mesti ada dam liga profesional perlu disokong dan diberi bantuan daripada liga amatur dan liga komuniti.

"Dari situlah pemain-pemain akan naik dan menjadi seorang pemain profesional di dalam karier mereka," katanya ketika ditemui pada World Football Summit Asia (WFSA) di sini, hari ini.

MFL yang sebelum ini dikenali dengan nama Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) ditubuhkan pada 2015 adalah badan penganjur liga tempatan dengan ketika ini mengendalikan dua saingan utama iaitu Liga Super dan Liga Perdana.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran persidangan WFSA yang akan berlangsung pada 29-30 April depan disambut baik sebagai platform untuk membincangkan isu industri bola sepak yang boleh membawa manfaat kepada negara.

"Industri bola sepak kini semakin berkembang diseluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali. Saya percaya dengan adanya persidangan ini kita dapat berkongsi idea dengan tokoh-tokoh berpengaruh dalam dunia bola sepak," katanya.

Berita Harian X