X
Khamis, 8 November 2018 | 12:11pm
GIANNI Infantino. - Foto AFP
GIANNI Infantino. - Foto AFP

Jangan sertai Liga Super: FIFA

LONDON: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberi amaran kepada mana-mana pemain yang menyertai saingan tidak diiktiraf - Liga Super Eropah - boleh diharamkan daripada beraksi pada Piala Dunia dan kejohanan antarabangsa.

Antara pemain yang boleh dikenakan tindakan sekiranya liga itu diteruskan adalah bintang Argentina, Lionel Messi, Neymar (Brazil), Kylian Mbappe (Perancis) dan Cristiano Ronaldo (Portugal).

“Jika ada pemain yang beraksi dalam pertandingan tidak diiktiraf, maka mereka akan menerima tindakan - (diharamkan beraksi) saingan liga kebangsaan, kejohanan konfederasi, Euro dan Piala Dunia,” kata Infantino yang dipetik menerusi akhbar Times.

Majalah Jerman, Der Spiegel dan rangkaian media antarabangsa melaporkan minggu lalu kertas kerja untuk mewujudkan saingan Liga Super Eropah sedang dirangka membabitkan kelab seperti Barcelona, Real Madrid dan Manchester United.

Menurut Der Spiegel, saingan Liga Super yang membabitkan penyertaan 16 pasukan akan menggantikan Liga Juara-Juara dengan menampilkan 11 pasukan “pengasas” - termasuk Barcelona dan Real - yang tidak boleh diturunkan pangkat untuk 20 tahun pertama, ditambah lima pasukan jemputan termasuk Inter.

“Anda sudah lihat sejak beberapa tahun ini usaha untuk memecahkan struktur yang ada sekarang, seperti yang berlaku pada tahun 1990-an. Kami perlu melindungi sukan ini dan mencari penyelesaian bagi memberi kebaikan kepada komuniti bola sepak dunia,” kata Infantino. - Reuters

Berita Harian X