Rabu, 7 November 2018 | 9:46am
JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde. - Foto Reuters
JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde. - Foto Reuters

Tak perlu Liga Super Eropah: Valverde

MILAN: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde percaya dengan kemampuan saingan Liga Juara-Juara untuk mencetuskan impak apabila menyaksikan pasukannya seri 1-1 dengan Inter Milan dalam aksi penuh dramatik, awal pagi tadi.

Justeru, Valverde menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan saingan Liga Super Eropah.

Aksi di San Siro antara yang menjadi tumpuan dalam saingan Liga Juara-Juara minggu ini dan kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi di luar jangkaan peminat.

Kapten Inter, Mauro Icardi menjadi penyelamat pasukan itu apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-87 selepas Malcom terlebih dahulu meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-83.

Bagaimanapun, Barcelona masih layak ke pusingan 16 terbaik buat kali ke-15 berturut-turut manakala Inter hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan menentang Tottenham Hotspur bagi menyertai Barca ke pusingan kalah mati.

“Saya fikir Liga Juara-Juara sudah seperti Liga Super,” kata Valverde.

“Anda dapat saksikan perlawanan sebenar malam ini (awal pagi tadi) baik di tengah padang mahupun di tempat duduk penonton. Pertandingan ini berkualiti tinggi - perlawanan malam ini dan perlawanan kami di Wembley (kemenangan 4-2 ke atas Tottenham bulan lalu).”

PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi jaringkan gol ketika aksi bertemu Barcelona di San Siro, Milan. - Foto Reuters
PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi jaringkan gol ketika aksi bertemu Barcelona di San Siro, Milan. - Foto Reuters

Majalah Jerman, Der Spiegel dan rangkaian media antarabangsa melaporkan minggu lalu kertas kerja untuk mewujudkan saingan Liga Super Eropah sedang dirangka membabitkan kelab seperti Barcelona, Real Madrid dan Manchester United.

Menurut Der Spiegel, saingan Liga Super yang membabitkan penyertaan 16 pasukan akan menggantikan Liga Juara-Juara dengan menampilkan 11 pasukan “pengasas” - termasuk Barcelona dan Real - yang tidak boleh diturunkan pangkat untuk 20 tahun pertama, ditambah lima pasukan jemputan termasuk Inter. - Reuters

Berita Harian X