Khamis, 1 November 2018 | 7:42pm
AZAMMUDIN Akil - Foto Osman Adnan
AZAMMUDIN Akil - Foto Osman Adnan

Alex sah angkat kaki

KUANTAN: Bekas penyerang kebangsaan, Azamuddin Akil mengesahkan tidak lagi bersama Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Azamuddin atau senang disapa Alex berkata, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak melanjutkan kontraknya bersama skuad Red Giants itu.

“Saya boleh sahkan tidak lagi menyarung jersi Selangor musim depan selepas pengurusan FAS tidak melanjutkan kontrak.

“Oleh itu, saya kini menimbang dua tawaran pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk meneruskan karier saya.

“Setakat ini, belum ada kata putus kerana masih lagi di peringkat awal dan berharap keputusan untuk bersama pasukan baru musim depan akan membantu meningkatkan kembali prestasi saya,” katanya.

Musim ini, Azamuddin yang juga bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang memilih Selangor.

Namun, pemain berusia 33 tahun itu yang mengalami kecederaan buku lali kiri tidak berada dalam kesebelasan utama Red Giants.

Mengulas mengenai kecederaan itu, pemain kelahiran Lipis, Pahang itu mengesahkan sudah pulih dan sedia untuk mengembalikan prestasi terbaiknya.

“Saya percaya kepada rezeki dan berharap musim 2019 akan memberi kekuatan dan keyakinan untuk kembali berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Berita Harian X