Sabtu, 27 Oktober 2018 | 8:43pm
KETUA Pegawai Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali komited menggunakan peluang menaja PAFA memperluaskan jenama terkemuka Umbro. - Foto RUWAIDA MD ZAIN
KETUA Pegawai Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali komited menggunakan peluang menaja PAFA memperluaskan jenama terkemuka Umbro. - Foto RUWAIDA MD ZAIN

Tajaan Al-Ikhsan suntik semangat Perak

SHAH ALAM: Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) komited menggunakan peluang menaja Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) selama tempoh dua tahun bagi memperluaskan jenama terkemuka Umbro.

Ketua Pegawai Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali berkata, peluang meneruskan penajaan dengan PAFA akan digunakan sebaiknya bagi memperluaskan pasaran jenama Umbro dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia.

"Kualiti produk Umbro akan dilihat sendiri oleh pengguna dengan lebih dekat. Al-Ikhsan Sports akan terus mencari peluang untuk memperbanyakkan lagi kerjasama bagi tujuan penajaan mahupun usahasama dengan mana-mana persatuan sukan di peringkat kebangsaan untuk terus menyokong pembangunan sukan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Al-Ikhsan dan PAFA di Acapella Suite Hotel, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla berkata, Al-Ikhsan teruja meneruskan sokongan kepada PAFA untuk mereka beraksi di Liga Malaysia bagi tempoh dua tahun iaitu 2019 hingga 2020.

"Terima kasih kepada Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu atas sokongan dan kepercayaan diberikan kepada Al-Ikhsan untuk memberikan perkhidmatan dan produk bola sepak terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia.

"Al-Ikhsan adalah pemegang lesen pengedaran dan pembuatan jenama Umbro di Malaysia bermula 2017, kami dengan bangga memperkenalkan jenama Umbro yang akan digunakan pasukan Perak bagi dua musim akan datang.

"Kami yakin Perak mempunyai penyokong setia yang ramai dan sekali gus mampu membawa jenama Umbro untuk lebih terkenal di pasaran Malaysia. Umbro sebuah jenama antarabangsa yang berpengalaman dan terkenal dengan kualiti terbaik, pasti akan dapat menyediakan kelengkapan bola sepak berkualiti tinggi untuk Perak dan Everton FC serta West Ham United di Liga Perdana Inggeris," katanya.

Tajaan kelengkapan sukan jenama Umbro pada musim hadapan membabitkan set lengkap, kit latihan termasuk pakaian kasual yang bakal digunakan oleh pasukan Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia, futsal lelaki dan wanita serta bola sepak wanita.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain berkata, kerjasama itu adalah komitmen Al-Ikhsan sendiri dalam membantu pembangunan sukan khususnya di Perak.

Berita Harian X