Isnin, 22 Oktober 2018 | 8:15am
MAURO Icardi. - Foto AFP
MAURO Icardi. - Foto AFP

Icardi wira Inter

ROME: Kapten, Mauro Icardi muncul wira Inter Milan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan bagi menewaskan AC Milan 1-0 dalam saingan Serie A di San Siro, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Inter melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 19  mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Icardi menghukum kesilapan yang dilakukan penjaga gol lawan, Gianluigi Donnarumma bagi menjaringkan gol pada lewat masa kecederaan.

Kekalahan itu menyaksikan Milan yang dibimbing Gennaro Gattuso gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga.

Inter yang layak ke saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali musim ini sejak 2011/2012 ketika ini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Juventus yang sekadar seri 1-1 dengan Genoa pada Sabtu.

“Saya datang ke sini untuk menang, bukan hanya untuk di bangku simpanan sepanjang musim ini dan hanya mengambil gaji. Saya datang ke sini untuk membina masa depan Inter dan pemain perlu lakukan perkara sama.

“Saya suka apabila Icardi selepas wisel dibunyikan mengatakan kepada saya yang kami perlu mencari konsistensi. Inter memilih kami untuk membawa pasukan ini kembali kepada kegemilangannya,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti.

Bagaimanapun, anak buah Spallletti terpaksa membayar harga yang tinggi di atas kemenangan itu selepas bintang mereka, Radja Nainggolan mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada babak pertama.

Ia situasi yang sukar buat Inter menjelang pertemuan dengan Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

“Kami terpaksa membawa Nainggolan ke hospital dan dia tidak akan bersama untuk seketika,” katanya. – AFP

Berita Harian X