Jumaat, 19 Oktober 2018 | 10:13pm
PEMAIN Felcra FC. - Foto NSTP
PEMAIN Felcra FC. - Foto NSTP

FELCRA FC dibubar

KUALA LUMPUR: Biarpun mempamer aksi memukau dalam saingan Liga Perdana 2018 sekali gus menyaksikan FELCRA FC ‘dinaikkan pangkat’ beraksi dalam Liga Super musim depan, ia tidak cukup meyakinkan pengurusan tertinggi syarikat itu yang mengumumkan pembubaran pasukan hari ini.

“FELCRA FC akan dibubarkan kerana memerlukan kos sebanyak RM8 juta semusim dan tidak memberi keuntungan,” kata Pengerusi FELCRA, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab pada sidang media pertama beliau selepas dilantik memegang jawatan itu di Wisma FELCRA di sini hari ini.

Mohd Nageeb berkata, ia langkah terbaik FELCRA selepas menilai situasi ekonomi semasa, sambil menambah pembubaran FELCRA FC adalah bagi memastikan aliran tunai syarikat itu dalam keadaan stabil.

Kelab Bolasepak FELCRA yang berusia enam tahun, memulakan aksi kompetitif mereka dalam Liga FAM.

Pasukan yang pernah melahirkan penyerang sensasi, N Thanabalan itu berjaya menempatkan diri dalam saingan Liga Perdana 2018 selepas menjuarai Liga FAM musim lalu.

Mengharungi musim dengan cemerlang pada penampilan pertama dalam Liga Perdana musim ini, skuad bimbingan jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik di penghujung musim 2018, sekali gus ditawarkan slot beraksi dalam Liga Super musim depan.

Sementara itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum menerima apa-apa makluman susulan pembubaran FELCRA FC.

Menurut sumber terdekat MFL, badan yang mengendali Liga Malaysia itu juga tidak menerima sebarang surat rasmi penarikan diri FELCRA FC dalam saingan Liga Super musim hadapan.

“Kami belum menerima sebarang maklumat mengenai pembubaran pasukan itu,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X