Khamis, 27 September 2018 | 11:49am
 GIANFRANCO Zola.
GIANFRANCO Zola.

Zola puji melangit Hazard

LIVERPOOL, England: Penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola menyanjung Eden Hazard sebagai antara pemain terbaik dunia selepas gol mengagumkan pemain Belgium itu membantu Blues mara ke pusingan 16 terakhir Piala Liga Inggeris dengan mengetepikan Liverpool 2-1 di Anfield, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan melakukan sembilan perubahan dengan memikirkan mengenai aksi Liga Perdana Inggeris antara mereka, awal pagi Ahad ini.

Namun percaturan pengendali Maurizio Sarri memasukkan Hazard 10 minit selepas rehat berbaloi ketika Emerson Palmieri menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma 11 minit sebelum tamat sebelum gerakan solo menarik pemain Belgium itu membantu mereka memenangi perlawanan.

“Bukan saja dia seorang pemain terbaik dalam Liga Perdana tapi dia juga seorang pemain terbaik di Eropah dan dunia,” kata Zola, pemain legenda Chelsea.

“Pada pandangan saya anda belum melihat yang terbaik daripadanya lagi. Dia menakjubkan!”

Ia malam mengecewakan buat Alvaro Morata apabila penyerang Chelsea itu gagal mencetus impak. Peluang terbaiknya hadir dalam tempoh 20 minit pertama apabila pemain Sepanyol itu merembat liar hantaran rakan senegara Cesc Fabregas.

Sarri memasukkan Hazard 35 minit sebelum tamat dan dia memerlukan masa untuk melakukan sesuatu walaupun turut memainkan peranan bagi gol penyamaan apabila sepakan percumanya ditanduk ke arah gol oleh Ross Barkley sebelum Emerson menampan masuk bola muntah.

Hazard kemudian memperagakan kehebatannya dengan meledak gol kemenangan apabila dia menari melepasi lima pemain Liverpool sebelum merembat kencang ke penjuru gol bagi gol keenamnya musim ini.

“Saya bercakap dengan N’Golo (Kante) di bangku simpanan dan dia memberitahu saya dia tidak mahu mengambil sepakan penalti, jadi satu-satunya cara adalah menjaringkan gol,” ujar Hazard secara berseloroh.

“Keputusan ini memberikan kami lebih keyakinan kerana kami seri dengan West Ham empat hari lalu. Perlawanan Sabtu ini (awal pagi Ahad) lebih penting. Kami perlu berusaha cuba mengalahkan Liverpool, Sabtu ini.” - AFP

Berita Harian X