Selasa, 18 September 2018 | 7:48am
GLENN Murray ketika cubaan menjaringkan gol. - Foto Reuters
GLENN Murray ketika cubaan menjaringkan gol. - Foto Reuters

Penalti lewat Murray hukum Saints

SOUTHAMPTON, England: Glenn Murray terbukti menjadi duri dalam daging buat Southampton sekali lagi apabila Brighton bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memaksa seri 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pierre-Emile Hojbjerg membolehkan Saints mendahului di St Mary’s menerusi rembatan jarak jauh 10 minit sebelum rehat. Mereka mengukuhkan kedudukan 2-0 pada pertengahan babak kedua selepas Danny Ings menyempurnakan sepakan penalti.

Namun dua minit kemudian Brighton merapatkan jurang menerusi tandukan Shane Duffy dan Seagulls menyamakan kedudukan pada minit ke-91 apabila Murray meledak sepakan penalti - gol ketiganya dalam tiga perlawanan menentang Saints.

Ia perlawanan kedua berturut-turut Brighton bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk berkongsi mata susulan seri 2-2 dengan Fulham. Ia juga keputusan seri ketiga berturut-turut dalam liga antara Southampton dan Brighton.

Keputusan itu menyaksikan Southampton dan Brighton masing-masing menghuni tangga ke-13 dan 14 liga dengan Saints hanya di depan menerusi perbezaan jaringan.

“Ia perlawanan kedua kami bangkit daripada ketinggalan 0-2,” kata pengurus Brighton, Chris Hughton kepada Sky Sports. “Anda perlu melihat karakter mereka tapi juga kelemahan yang menyebabkan kami berada dalam situasi sebegitu, pujian kepada pemain kerana mereka bertindak balas dengan baik.”

Merujuk kepada gol penyamaan itu, Hughton menegaskan: “Ketika ketinggalan 1-2 dan beraksi di gelanggang lawan kemudian mendapat penalti, anda tidak akan berjumpa pemain setenang Glenn Murray.”

Sementara itu, sekalipun Hojbjerg gembira menjaringkan gol hebat dia tetap kecewa melihat Saints mensia-siakan pendahuluan dua gol.

“Ia tidak mencukupi,” tegasnya. “Jika anda mahu serius dan menjadi pencabar anda tidak boleh membiarkan perlawanan sebegini terlepas begitu saja.

“Bagus kerana menjaringkan gol menarik seperti ini tapi saya mahu menang, ia lebih penting.” - AFP

Berita Harian X