Isnin, 17 September 2018 | 5:30pm
Pemain JDT Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan MIFA dalam perlawanan Piala Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam. - Foto BERNAMA
Pemain JDT Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan MIFA dalam perlawanan Piala Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam. - Foto BERNAMA

Badi Pahang hantui JDT

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta kebangkitan saat akhir untuk meloloskan diri ke suku akhir Piala Malaysia, namun cabaran besar menanti apabila skuad Harimau Selatan perlu menghapuskan badi bertemu Pahang, minggu ini.

Rekod JDT bertemu musuh ketat itu dalam saingan kalah mati kurang memberangsangkan apabila tewas dalam empat perlawanan terakhir termasuk final Piala Malaysia 2014 menerusi sepakan penalti 5-3 apabila terikat 2-2 selepas aksi 120 minit permainan.

Tiga lagi pertemuan dalam kempen Piala FA juga menyaksikan skuad Harimau Selatan tersingkir dua kali di peringkat suku akhir Piala FA menerusi agregat 3-0 tahun ini dan 4-3 pada 2017 sementara pada pertembungan separuh akhir pada 2014 mereka kalah 2-1.

Namun, rekod itu tidak seharusnya menghakis keyakinan pemain JDT yang kali terakhir menumpaskan Pahang di saingan kalah mati pada separuh akhir Piala FA 2013 menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat 2-2 kerana mereka berada di prestasi terbaik ketika ini.

JDT yang muncul juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut mencatat kemenangan tipis 1-0 dan 2-1 ke atas skuad Tok Gajah dalam dua pertemuan liga musim ini dan kejayaan menewaskan MIFA 3-0 di Stadium Shah Alam untuk muncul juara Kumpulan C, malam tadi kembali menyalakan impian mereka untuk mempertahankan kejuaraan.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa mengakui ia pertemuan yang sukar dengan Pahang namun pemain bersedia untuk berjuang.

"Bermain menentang Pahang pasti sukar, kami akan cuba mempamerkan permainan yang terbaik kerana menentang Pahang ini adalah 'derby', tapi kami bersedia untuk berjuang untuk mendapatkan kemenangan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan dengan MIFA.

Bekas pemain import JDT itu berkata, beliau tidak pernah meragui kemampuan pemain JDT meskipun terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir dengan MIFA untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

"Secara keseluruhannya kami bermain lebih baik pada babak kedua, namun aksi permainan di separuh masa juga tidak kurang hebatnya. Kami mempunyai banyak peluang tetapi tidak bernasib baik. Ia terbukti ketika 10 minit pertama, kami mempunyai dua peluang menjaringkan gol. 

"Namun ini adalah bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Dua perlawanan sebelum ini, JDT pasukan yang amat teruk. Namun, kini kami berjaya menamatkan saingan kumpulan dengan berada di tempat pertama. Segala-galanya boleh berlaku dalam bola sepak," kata Figueroa.

Berita Harian X