Jumaat, 14 September 2018 | 12:37am
HARRY Maguire. - Foto AFP
HARRY Maguire. - Foto AFP

Puel yakin Maguire komited di Leicester

London: Pemain antarabangsa England, Harry Maguire tidak akan meninggalkan Leicester City pada hujung musim ini, kata pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu, Claude Puel.

Pertahanan tengah berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun bersama Foxes pada Ahad lalu dengan yuran perpindahan besar akan dikenakan sekiranya dia meninggalkan kelab itu.

Maguire dikaitkan dengan perpindahan bernilai puluhan jutaan pound ke Manchester United selepas menyerlah di Piala Dunia dengan Leicester dilaporkan meletakkan harga £75 juta (RM407.4 juta) untuk dirinya.

Begitupun, Puel yakin Maguire akan kekal bersama mereka sekurang-kurangnya sehingga musim depan.

"Sudah pasti tidak semua pemain bermula dan menamatkan satu musim di kelab yang sama namun jika dia tiada dalam perancangan saya, dia akan meninggalkan kelab selepas setahun," katanya menjelang pertemuan menentang seteru Liga Perdana, Bournemouth pada Sabtu ini.

"Adalah penting untuk mengekalkan pemain yang mempunyai kualiti sepertinya dan mustahak untuk kelab dan saya terus bekerja bersamanya."

Puel yang menidakkan jangkaan pemerhati musim lalu yang meramalkan dirinya akan dipecat, berkata beliau tidak pasti sama ada kontrak baru Maguire mempunyai syarat tentang nilai tertentu yang boleh ditebus.

"Saya tidak mengetahui terperinci mengenai kontraknya. Namun tindakannya menandatangani kontrak adalah bagus untuk kelab dan penyokong serta menunjukkan cita-cita kelab." - AFP

Berita Harian X