Rabu, 12 September 2018 | 8:19am
JAN Bednarek (kanan) dan Aiden O'Brien (tengah) dari Poland beraksi semasa perlawanan bola sepak Persahabatan Antarabangsa antara Poland dan Ireland di Wroclaw, Poland. - Foto EPA
JAN Bednarek (kanan) dan Aiden O'Brien (tengah) dari Poland beraksi semasa perlawanan bola sepak Persahabatan Antarabangsa antara Poland dan Ireland di Wroclaw, Poland. - Foto EPA

Ireland hampir malukan Poland

WROCLAW: Republik Ireland menamatkan minggu penuh kontroversi dengan keputusan seri 1-1 menentang Poland awal pagi tadi ketika penyerang Millwall, Aiden O’Brien meledak jaringan pada penampilan sulung antarabangsanya.

Pengurus Ireland, Martin O’Neill perlu mempertahankan pembantunya, Roy Keane apabila rekod perbualan bekas pemain Manchester United itu bocor ketika beliau memaki hamun pemain tengah, Harry Arter dan penyerang, Jonathan Walters awal tahun ini.

Arter, 28, tidak beraksi di peringkat antarabangsa sejak insiden itu.

Selepas dibelasah Wales 4-1 dalam saingan pembukaan Liga Negara Eropah Khamis lalu, Ireland berada di ambang kemenangan namun Mateusz Klich berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir buat Poland.

Perlawanan bermula dengan agak perlahan dalam 30 minit awal, sebelum Arkadiusz Milik melakukan percubaan jarak jauh yang tepat ke arah penjaga gol Ireland, Darren Randolph tatkala Poland dilihat bergelut untuk menembusi benteng lawan tanpa penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, yang direhatkan selepas 99 kali beraksi di peringkat antarabangsa.

Ireland berjaya memperoleh percubaan pertama mereka pada awal babak kedua melalui pemain tengah Bristol City, Callum O’Dowda namun ia mudah diselamatkan Wojciech Szczesny.

Bagaimanapun, ia seakan pembakar semangat buat pasukan bimbingan O’Neill dan mereka berjaya mendahului pada minit ke-54 apabila pemain berusia 24 tahun, O’Brien menyambut baik hantaran lintang O’Dowda.

Poland meneruskan dominasi mereka namun tidak memberi ancaman kepada lawan hinggalah permainan satu dua antara Klich dan Milik berjaya membuahkan hasil pada minit ke-87, walaupun Ireland mendakwa jaringan itu ofsaid. - AFP

Berita Harian X