X
Isnin, 10 September 2018 | 3:53pm
GAMBAR fail, penyerang Kelantan, Cristiano Santos (tengah) diasak beberapa pemain MISC-MIFA dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV. - Foto Zaman Huri Isa
GAMBAR fail, penyerang Kelantan, Cristiano Santos (tengah) diasak beberapa pemain MISC-MIFA dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV. - Foto Zaman Huri Isa

NS, Kelantan kekal beraksi di Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Tiada pusingan U yang boleh dilakukan Kelantan dan Negeri Sembilan untuk kembali beraksi semula dalam saingan Liga Super musim depan.

Ia susulan terdapat khabar angin mengatakan dua pasukan yang tersingkir ke Liga Perdana itu akan dikekalkan dalam Liga Super selepas PKNS dan PKNP bakal menjadi ‘feeder club’ atau kelab pemangkin kepada Selangor dan Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Selangor dan Perak seperti khabar angin yang tersebar di media sosial itu.

“Kita sedia maklum itu hanya khabar angin di luar sana, tapi kita tidak mendapat maklumat rasmi daripada mana-mana pihak termasuk Selangor dan Perak.

“Buat masa ini, kita sedang menguruskan kalendar Liga Malaysia untuk musim 2019. Jadi, kita harap pasukan faham bahawa jika ada apa-apa yang mereka mahu lakukan, sudah tentu perlu makluman awal perlu dilakukan kepada MFL.

“Kita pun hadir pada satu program yang lakukan FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) pada bulan lalu, tapi tiada apa-apa makluman mengenai isu ini,” katanya.

Penjelasan daripada Kevin itu pasti menjawab persoalan yang membelenggu penyokong Kelantan dan Negeri Sembilan dengan sebahagian besarnya menaruh harapan untuk khabar di media sosial itu menjadi kenyataan.

Skuad The Red Warriors (TRW) dan Hobin Jang Hobin tersingkir ke Liga Perdana apabila gagal mempamerkan persembahan terbaik selepas masing-masing hanya mengutip 18 dan 15 mata daripada 22 perlawanan.

Selain itu, Kevin menjelaskan permohonan untuk membentuk feeder club bukan sesuatu yang mudah dan ia perlu dinilai sepenuhnya oleh Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu.

“Jika dimohon pun bukannya benda itu (status feeder club) terus boleh dapat. Ia berdasarkan kelayakan pasukan itu dan kepada peraturan yang ada, malah tak semestinya semua boleh dijadikan feeder club,” katanya.

Berita Harian X