Khamis, 6 September 2018 | 1:35pm
ABU Bakar Fadzim. - Foto Owee Ah Chun
ABU Bakar Fadzim. - Foto Owee Ah Chun

Abu Bakar mungkin tinggal PKNP

KUALA LUMPUR: PKNP FC bakal kehilangan jurulatih, Abu Bakar Fadzim musim depan jika kelab itu dijadikan sebagai pasukan pembangunan sebagaimana dihebohkan melalui media sosial kebelakangan ini.

Sumber rapat dengan pasukan memberitahu Sukan NSTP, jurulatih itu tidak rela melihat pasukan bimbingannya kembali bermain dalam Liga Perdana selepas bertungkus-lumus membawanya naik dari Liga FAM hingga ke Liga Super musim ini.

Malah, menurut sumber itu beberapa tawaran yang diterima daripada pasukan lain bakal mempercepatkan tindakan Abu Bakar untuk mengangkat kaki jika apa yang dihebohkan menjadi kenyataan.

“Burn (Abu Bakar) pasti kecewa jika benar PKNP akan dijadikan pasukan pembangunan kerana sejak tiga tahun lalu beliau bekerja keras untuk meningkatkan pasukan ini daripada satu tahap ke satu tahap,” kata sumber itu.

“Bermula Liga FAM pada tahun 2016, beliau berjaya menaikkan kelab ini ke Liga Perdana dan kini bermain dalam Liga Super. Malah, musim ini, dengan segala kekangan, beliau berjaya mengekalkan PKNP dalam Liga Super.

“Saya yakin, jika mereka mengambil keputusan drastik itu, Burn akan meninggalkan PKNP. Apatah lagi saya difahamkan beberapa kelab sudah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.”

Bagaimanapun Abu Bakar ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kedudukannya musim depan sebaliknya mahu memberi tumpuan mempersiapkan pasukannya untuk berdepan Selangor dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Malaysia pada 16 September ini.

“Buat masa ini tumpuan saya adalah untuk perlawanan itu. Saya tidak mahu fikir tentang cakap-cakap bahawa PKNP akan main dalam Liga Perdana musim depan jika dijadikan kelab pembangunan.

“Lagipun ia sekadar khabar angin, pihak pengurusan tidak pernah cakap apa-apa mengenai isu ini. Malah PAFA (Persatuan Bola sepak Perak) sendiri sudah buat kenyataan tidak ada perancangan untuk menukar status PKNP musim depan,” kata Abu Bakar.

Berita Harian X