Selasa, 4 September 2018 | 11:14am
KEVIN Ramalingam
KEVIN Ramalingam

Tiada permohonan kelab pembangunan - MFL

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka tidak menerima sebarang permohonan dari mana-mana pasukan untuk bertukar status kepada kelab pembangunan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan membabitkan Selangor yang mahu menjadikan PKNS FC sebagai kelab pembangunan mereka dan PKNP FC sebagai kelab pembangunan buat Perak.

“Khabar angin itu tidak benar. Setakat ini tiada apa-apa makluman mengenai perkara ini. Jika ada permohonan, barulah MFL boleh mengambil tindakan yang selanjutnya.

“Jika benar ada permohonan yang dikemukakan, tidak semestinya ia boleh diluluskan serta merta kerana masih ada proses dan kelayakan yang perlu dipenuhi.

“Namun, kalau ada permohonan sekali pun, ia tidak bermakna pasukan yang disingkirkan ke Liga Perdana akan kembali beraksi secara automatik dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, wujud dakwaan di laman media sosial yang menyatakan dua pasukan Liga Super terbabit akan ‘diturunkan pangkat’ menyertai Liga Perdana dan membolehkan Kelantan yang tersingkir terus kekal bersaing dalam saingan elit itu.

Jika status PKNS FC dan PKNP FC ditukar sebagai kelab pembangunan, mereka tidak dibenarkan beraksi dalam satu saingan yang sama dengan pasukan utama sekali gus meninggalkan dua kekosongan dalam tempat Liga Super musim hadapan.

Dua lagi kelab pembangunan dalam saingan Liga Perdana setakat ini adalah Terengganu FC II (TFCII) dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), masing masing untuk Terengganu dan juara Liga Super, JDT.

Berdasarkan peraturan yang sudah ditetapkan, kelab pembangunan juga tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Berita Harian X