Sabtu, 1 September 2018 | 8:39pm
ERIC Maxim Choupo-Moting
ERIC Maxim Choupo-Moting

PSG ikat penyerang Cameroon

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) membuat kejutan apabila menandatangani penyerang Cameroon, Eric Maxim Choupo-Moting sebelum jendela perpindahan sekitar Eropah ditutup.

Choupo-Moting, 29, menandatangani kontrak selama dua tahun bersama juara Perancis itu sebagai ejen bebas selepas meninggalkan Stoke City, yang diturunkan dari Liga Perdana Inggeris pada akhir musim lalu.

Ia satu perpindahan yang menarik dan jauh dari perpindahan lumayan pada Ogos 2017 apabila PSG membiayai dua yuran perpindahan terbesar dalam sejarah untuk menandatangani Neymar dan Kylian Mbappe.

Choupo-Moting bakal memberikan pilihan tambahan di bahagian serangan buat jurulatih Thomas Tuchel dan memiliki banyak pengalaman di peringkat tinggi di Jerman, di mana dia beraksi untuk Hamburg, Mainz dan Schalke 04.

Ketibaan Choupo-Moting mengikut jejak pemain bek kiri Juan Bernat, yang ditandatangani dengan nilai 15 juta euro (RM71 juta) dari Bayern Munich pada penghujung jendela perpindahan untuk PSG, yang berada dalam tekanan bagi mematuhi peraturan ‘Financial Fair Play’ UEFA. - AFP

Berita Harian X