Khamis, 30 Ogos 2018 | 1:30pm
Ruben Neves. - Foto AFP
Ruben Neves. - Foto AFP

City intai khidmat Neves

LONDON: Manchester City sedang memerhati rapat perkembangan pemain tengah Wolves, Ruben Neves tetapi bimbang apabila bos Manchester United, Jose Mourinho dikatakan turut berminat.

City dikatakan berusaha untuk mendapatkan Neves, 21, pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu tetapi gagal memujuk Wolves atau ejennya, Jorge Mendes.

Mendes yang menjadi individu penting bagi mendapatkan pemain ke Molineux berjanji kepada penyokong Wolves pemain kebangsaan Portugal itu tidak akan dijual selepas mereka beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Justeru, kelab itu tidak bersedia untuk merosakkan janji berkenaan sekali pun minat yang ditunjukkan penyandang juara, City.

City menilai segala pilihan selepas sasaran utama, Jorginho memilih untuk ke Chelsea dengan Neves menjadi pilihan teratas tetapi kelab kendalian Pep Guardiola itu tidak tergesa-gesa dan menimbang untuk melakukan ‘gerakan’ pada Januari atau musim panas depan.

Pengarah Sukan City, Txiki Begiristain menemui Mendes pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Wolves dengan Everton dan turut hadir ketika kedua-dua pasukan bertemu di Molineux, Sabtu lalu.

Begiristain dan Mendes memiliki hubungan yang baik dan sudah bekerjasama beberapa kali termasuk bagi mendapatkan Nicolas Otamendi, Bernardo Silva dan Ederson.

City berharap Mendes dan Wolves bersikap lebih terbuka pada sesi perpindahan Januari dengan kelab dari Midlands itu dikatakan bersedia untuk mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya 60 juta pound (RM322.64 juta).

Begitupun, perkembangan itu dipercayai mencetus berang Mourinho dengan Mendes adalah ejen kepadanya dengan United dikatakan bersedia untuk membuat perjanjian sekiranya Neves sedia untuk dijual.

City sebelum ini tewas kepada United dalam perebutan mendapatkan Alexis Sanchez dan Fred selain terlepas khidmat Jorginho sekali pun sudah mendapat persetujuan awal dengan Napoli. - Agensi

Berita Harian X