Sabtu, 18 Ogos 2018 | 12:10pm
Ketua jurulatih bolasepak pasukan Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff. - Foto Amran Hamid
Ketua jurulatih bolasepak pasukan Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff. - Foto Amran Hamid

Kedah 'rehatkan' Nidzam

ALOR SETAR: Teka teki mengenai nasib Ketua Jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff terjawab apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini membuat keputusan  'merehatkan' beliau daripada  tugas selaku pengendali utama skuad Lang Merah.

Pengesahan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris selepas satu mesyuarat khas yang diadakan di Alor Setar petang semalam yang turut dihadiri oleh ahli eksekitif dan pengurusan persatuan berkenaan.

"Selepas mengadakan perbincangan dalam mensyuarat yang diadakan, kami memutuskan untuk merehatkankan Nidzam Adzha sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super Kedah sehingga tamat saingan musim ini. Beliau akan diberikan beberapa tugasan lain sehinggalah kontrak tamat."

"Manakala untuk penggantian tugas berkenaan, Penolong Ketua Jurulatih Azzmi Aziz akan memangku jawatan Ketua Jurulatih pasukan sehingga tamat saingan Piala Malaysia musim ini."

Asmirul juga memaklumkan, jawatan Pengurus Pasukan Kedah yang kini kekosongan selepas perletakan jawatan oleh Syed Khairul Anuar Syed Abidin yang mengerjakan ibadah Haji, akan dipangku oleh Pegawai Tadbir KFA Faris Ahmad sehingga tamat saingan musim ini.

"Dengan keputusan ini kita mengharapkan skuad Lang Merah akan dapat terus fokus untuk bangkit mencipta kejayaan dalam saingan Piala Malaysia.”

Selasa lalu, Nidzam Adzha Yusoff menyatakan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan yang bakal diputuskan pihak pengurusan KFA berkaitan prestasi dirinya bersama skuad Lang Merah selepas pencapaian kurang memberangsangkan di hujung musim Liga Super 2018 dan pada dua perlawanan awal  Piala Malaysia musim ini.

Sementara itu status berkaitan penyerang import Paulo Rangel yang sebelum tidak  beraksi dalam perlawanan ketika Kedah berkunjung ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat lalu juga sudah diputuskan dan diminta supaya terus beraksi.

"Kita  minta dia bermain kerana kita bayar gaji dia, kecuali jika dia mengalami kecederaan dan tak dapat meneruskan aksi. Itu bergantung kepada penilaian oleh  jurulatih Azzmi Aziz yang akan memeriksa laporan perubatan dan jika laporan mengatakan dia cergas maka dia harus bermain."

"Di samping itu, kita juga sedang mencari ketua jurulatih yang terbaik untuk musim depan dan kita sedang meneliti beberapa calon jurulatih luar negara serta tempatan, dan kita jangkakan proses pemilihan ini akan bermula antara September dan Oktober ini." katanya.

"Pihak pengurusan KFA merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Nidzam di atas sumbangan serta khidmat beliau dalam menerajui pasukan sehingga Kedah menjuarai Piala FA dan Naib Johan Piala Malaysia pada musim 2017 yang lalu." katanya.

 

Berita Harian X