Isnin, 13 Ogos 2018 | 5:49pm
PEMAIN FELCRA FC, Anselmo Arruda Da Silva (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur pada saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
PEMAIN FELCRA FC, Anselmo Arruda Da Silva (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur pada saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

FELCRA tumpas salah sendiri

KUALA LUMPUR: Jurulatih FELCRA FC, Tarcisio Pugliese mengakui anak buahnya tetap mampu bersaing dengan pasukan Liga Super dalam kempen Piala Malaysia meskipun mengalami kekalahan besar 1-4 kepada Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, FELCRA pasukan tunggal dari Liga Perdana bersaing dalam Kumpulan A, dibolosi empat gol selepas gagal mengekang pergerakan penyerang Guilherme De Paula.

Menurut Pugliese, beliau menganggap kegagalan bahagian serangan berfungsi dengan baik menjadi punca kekalahan itu.

“Saya tak gembira dengan keputusan ini, mereka berhak menang kerana menyempurnakan peluang yang ada. Tapi pemain kami mensia-siakan peluang.

“Sama seperti perlawanan dengan Perak sebelum ini, tiada beza kami dengan pasukan lain cuma kami tidak berjaya menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Setakat ini Casagrande gagal memberi penyudah berkesan buat FELCRA seperti biasa dilakukan dalam saingan Liga Perdana yang menyaksikannya menjadi penjaring terbanyak musim ini dengan 19 gol.

Kekalahan pertama dalam kempen Piala Malaysia itu menyaksikan FELCRA menduduki tangga terakhir kumpulan dengan satu mata yang diraih ketika seri 0-0 dengan Perak minggu lalu. 

Berita Harian X