Jumaat, 3 Ogos 2018 | 4:23pm
SAFIRUL Azli Abu Bakar - Foto Hafiz Sohaimi
SAFIRUL Azli Abu Bakar - Foto Hafiz Sohaimi

Hantar pulang Amirul hanya khabar angin

 

KUALA LUMPUR: Pengarah Kanan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar menganggap berita tonggak skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Amirul Ashrafiq Hanifah akan dihantar pulang hanya khabar angin.

Safirul menjelaskan pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai khabar angin itu daripada skuad B-16 yang kini berada di Surabaya, Indonesia bagi kejohanan B-16 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

"Apa yang saya dengar kenyataan terakhir daripada AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) untuk tingkatkan tahap keselamatan," kata Safirul.

"Perkara itu (keputusan menghantar pulang pemain) terletak di tangan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Namun, setakat ini saya tak dengar apa-apa berita, selalunya kami juga akan dimaklumkan. Mungkin (khabar angin)."

Kontroversi tercetus selepas Amirul tersilap menggunakan bendera Poland dan bukannya Indonesia dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya Jumaat lalu.

Walaupun sudah membuat permohonan maaf, kesilapannya itu didakwa penyokong Indonesia sebagai sengaja mencetus provokasi yang menyaksikan isu itu berlanjutan hingga aksi pertama berdepan Thailand, Isnin lalu di mana penyokong Indonesia menyanyikan lagu yang menghina Malaysia dan Amirul.

Malah, insiden itu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TM), Tunku Ismail Sultan Ismail yang meminta FAM membuat bantahan berkaitan kelakuan biadap penyokong Indonesia kepada AFF.

Berita Harian X