Ahad, 29 Julai 2018 | 7:18pm
PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan Mohd Asmirul Anuar Aris (tujuh dari kanan) dan Pengarah Kolej Komuniti Bandar Daruaman Nordin Sariju (enam dari kanan) bergambar bersama peserta dari Kolej Komuniti Kedah/Perlis yang menjadi johan keseluruhan Kejohanan Sukan Kolej Komuniti Zon 1 2018 Kedah/Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan/Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan Mohd Asmirul Anuar Aris (tujuh dari kanan) dan Pengarah Kolej Komuniti Bandar Daruaman Nordin Sariju (enam dari kanan) bergambar bersama peserta dari Kolej Komuniti Kedah/Perlis yang menjadi johan keseluruhan Kejohanan Sukan Kolej Komuniti Zon 1 2018 Kedah/Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan/Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA

KFA kaji kedudukan pemain import

 

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengkaji semula kedudukan lima pemain import pasukan itu yang didapati kurang menyerlah ketika mengharungi Liga Super musim ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak pemain import itu sekiranya terus beraksi hambar.

"Apa yang kita perhatikan sekarang, pemain import ini kurang menyerlah selain kurangnya semangat berpasukan antara mereka, jika ia berterusan kita tamatkan kontrak mereka namun jika mereka mampu menyerlah dan konsisten maka kontrak mereka akan disambung," kata Asmirul selepas merasmikan penutupan Kejohanan Sukan Kolej Komuniti Zon 1 2018, di sini, hari ini.

"Sekarang kita kena pastikan pasukan Helang Merah ini terus menyengat dengan motivasi dan semangat berpasukan yang tinggi terutama untuk memastikan kemenangan pada perlawanan menentang PKNP di Stadium Darul Aman malam ini."

Barisan pemain import Kedah ketika ini ialah Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Alvaro Silva, Paulo Rangel dan Andik Vermansyah.

Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri berkata, pihaknya akan turut memastikan pentadbiran KFA akan lebih baik selepas ini dengan perbelanjaan secara berhemah.

Bagaimanapun katanya ia tidak akan membabitikan gaji pemain berikutan KFA sudah mempunyai penaja pada musim ini.

"Kita harap kos pentadbiran KFA dapat dikurangkan menerusi perbelanjaan berhemah, pada masa yang sama kita mempunyai pelan kembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kedah menerusi bakat baharu yang dicungkil melalui Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB).

"Bakat-bakat baharu ini kita akan angkat untuk menjadi pemain utama pasukan Kedah," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi kejohanan berkenaan yang juga Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Nordin Sariju.

Berita Harian X