Jumaat, 13 Julai 2018 | 11:21am
SHAHREL Fikri Md Fauzi. - Foto Ramdzan Masiam
SHAHREL Fikri Md Fauzi. - Foto Ramdzan Masiam

Shahrel serasi bersama Nakhon

KUANTAN: Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengesahkan Shahrel Fikri Md Fauzi serasi bersama kelab Thailand, Nakhon Ratchasima. Beliau berkata, kehadiran Shahrel Fikri menyaksikan kelab berkenaan merekodkan satu kemenangan dan seri dalam dua perlawanan.

"Jurulatih kelab itu turut memuji Shahrel yang cepat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan termasuk dari segi komitmen terhadap pasukan. "Ia sesuatu yang positif untuk melihat Shahrel mempamerkan prestasi terbaik bersama Nakhon Ratchasima," katanya.

Bulan lalu, Shahrel Fikri menyertai kelab Divisyen Satu Thailand itu secara pinjaman. Pemenang Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu bertekad memanfaatkan tempoh lima bulan itu untuk memikat pengurusan Nakhon Ratchasima yang mungkin membuka peluang kepadanya untuk terus beraksi bersama kelab itu musim depan.

Mengulas ketiadaan Shahrel Fikri dalam pasukan itu bagi mengharungi baki saingan Liga Super, Abu Bakar mengakui ia memberi kesan terhadap prestasi kelab itu. Namun, beliau berkata, keputusan melepaskan penyerang itu bagi mengembangkan kerjaya dalam usaha menjamin masa depan lebih baik.

"Sebenarnya, ia peluang seumur hidup buat Shahrel apabila dilamar kelab profesional Thailand biarpun kami amat merasai ketiadaannya. "Tapi, saya percaya ketiadaan Shahrel itu akan memberi peluang kepada pemain lain dalam pasukan untuk menggantikan tempatnya.

"Penyertaan PKNP dalam saingan Liga Malaysia bukan saja untuk memberi saingan kepada pasukan lebih pengalaman, malah melahirkan pemain berbakat," katanya.

Berita Harian X