Rabu, 20 Jun 2018 | 3:18am
JURULATIH Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi. - Foto AFP
JURULATIH Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi. - Foto AFP

Arab Saudi mahu lupakan mimpi ngeri

ROSTOV-ON-DON, Russia: Selepas kekalahan besar 0-5 kepada Russia, Arab Saudi sekali lagi diuji dengan masalah teknikal pada pesawat yang dinaiki mereka ketika mendarat di Rostov-on-Don pada Isnin, namun semua itu dikatakan tidak akan memberi kesan terhadap keyakinan mereka apabila dijadual bertemu Uruguay pada minggu ini.

Arab Saudi mengalami kekalahan besar kepada tuan rumah pada perlawanan pembukaan Piala Dunia dan Uruguay dijangka akan memberi tentangan yang lebih sukar dalam perlawanan Kumpulan A pada malam ini.

Pada Isnin lalu, Agensi Penerbangan Russia, Rosaviatsya berkata ketika pendaratan, pesawat yang dinaiki pasukan itu mengalami kebakaran di salah satu enjinnya dan penyiasatan terhadapnya akan dilakukan.

Media Saudi memaparkan rakaman enjin pesawat itu yang terbakar tetapi jurucakap Penerbangan Rossiya menafikan berlakunya kerosakan enjin dan berkata perkara itu berlaku disebabkan burung.

"Kami lupa mengenai itu sejurus tiba di hotel," kata pemain tengah Arab Saudi, Taisir Al-Jassim.

"Sebenarnya kedua-dua sekali perlawanan pertama dan juga insiden yang berlaku dalam penerbangan sudah dilupakan."

Jurulatih Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi berkata keseluruhan pasukan kekal tenang.

"Kami tidak merasa takut dan tidak panik. Kami yakin sepenuhnya terhadap juruterbang. Kami bertenang pada sepanjang masa," kata jurulatih yang berasal dari Argentina itu.

"Kami tidak merasa selesa tetapi ini tidak akan mengganggu persembahan kami."

"Kami mahu membuktikan yang kami adalah pasukan yang kompetitif dan itu adalah keutamaan kami," katanya. - Reuters

Berita Harian X