Rabu, 23 Mei 2018 | 1:18pm
PEMAIN pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari (kanan) mengasak pemain import Pahang, Awamchi Augustine Iwuji pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Darul Aman. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
PEMAIN pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari (kanan) mengasak pemain import Pahang, Awamchi Augustine Iwuji pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Darul Aman. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

Nidzam puji disiplin pemain hadapi asakan lawan

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff memuji barisan pemainnya termasuk benteng pertahanan Kedah yang beraksi dengan penuh disiplin mengekang asakan dari trio penyerang berbisa Pahang Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima.

Biarpun mengakui skuadnya serba kekurangan tanpa penyerang utama yang masih belum dimuktamadkan, namun kegigihan yang ditunjukkan oleh semua pemain sepanjang 90 minit harus diberi pujian apabila berjaya meraih kemenangan 2-0 keatas Pahang malam tadi.

"Saya bersyukur walupun kita masih tiada penyerang utama, tapi pemain lain bergilir gilir menyumbangkan gol sejak beberapa perlawanan lalu menepati perancangan yang kita lakukan.

"Pemain pertahanan berjaya mematahkan asakan bahaya dari penyerang Pahang hasil dari disiplin tinggi yang yang ditunjukkan malam ini.

"Tempo perlawanan tidak begitu tinggi dilihat pada separuh masa pertama, namun selepas kita memperoleh gol pertama pada penghujung babak pertama kita beraksi dengan rentak yang lebih laju di separuh masa kedua," katanya.

Nidzam juga mengakui kemasukan Akhyar Rashid yang memiliki kepantasan pada separuh masa kedua turut meningkatkan tempo serta rentak permainan Kedah hingga berjaya melakukan asakan bahaya dan akhirnya Kedah berjaya menghasilkan gol kedua. 

"Pemain telah beraksi dengan penuh keyakinan dan mengikut arahan yang diberikan dan saya rasa kemenangan ini akan melonjakkan lagi semangat kami untuk berhadapan perlawanan seterusnya dengan Selangor selepas ini.

"Kombinasi dua bek tengah iaitu Syawal Nordin dan Khairul Helmi Johari yang mememang sudah serasi dan pernah bergandingan pada final Piala FA tahun lalu dilihat tiada masalah dari segi persefahaman yang mereka tunjukkan," katanya

Sementara itu, Pengurus Skuad Lang Merah, Syed  Khairul Anuar Syed Abidin turut berpuas hati dengan taktikal yang dirancang oleh Nidzam Adzha sambil mengakui proses mengikat penyerang import baharu, Paulo Rangel kini berjalan lancar yang menyaksikan beliau (Rangel) kini sudah hadir ke Kedah dan berada pada peringkat akhir untuk didaftarkan. 

"Kita berada dalam proses akhir mengendalikan urusan pendaftaran untuk mengikat Rangel secara sah dan bermula esok (hari ini) kita akan menjalankan proses pendaftaran dan kita hanya menunggu kelulusan pelepasan pemain (ITC) dari kelab Nakhon Ratchasima.

"Kita berharap urusan pendaftaran Rangel akan berjalan lancar dan yakin kelab lamanya itu akan memberi kebenaran pelepasan dan sasaran serta perancangan kita adalah supaya Rangel dapat beraksi dalam perlawanan Kedah menentang Selangor pada 26 Mei nant,." katanya.

Berita Harian X