Jumaat, 18 Mei 2018 | 7:34am
NANI dan Eder.
NANI dan Eder.

Portugal ketepikan Eder, Nani

LISBON: Penyerang, Eder dan Nani, dua nama besar yang diketepikan daripada skuad Piala Dunia Portugal dengan jurulatih pasukan kebangsaan, Fernando Santos memilih pemain muda, Andre Silva dan Goncalo Guedes bagi berpasangan dengan bintang, Cristiano Ronaldo.

Pemain lain yang tidak senaraikan dalam skuad 23 pemain itu termasuklah Andre Gomes, yang mengalami nasib sama seperti Eder dan Nani.

Ketiga-tiga pemain ini adalah antara tonggak yang bermain dalam Kejohanan Eropah 2016 (Euro 2016) yang menyaksikan Portugal muncul juara.

Pemain tengah Porto FC yang cedera, Danilo Pereira juga tidak disenaraikan.

Pada usia 33 tahun, pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo serta pemain berusia 34 tahun, Ricardo Quaresma menjadi hanya dua pemain berusia lebih 30 tahun di bahagian serangan Portugal.

Eder menjaringkan gol kemenangan ketika tambahan masa pada final Euro 2016 berdepan Perancis tetapi tidak menampilkan persembahan terbaik bersama Lokomotiv Moscow musim ini.

Dia hanya menjaringkan empat gol ketika pasukannya meraih gelaran Liga Perdana Russia, sekaligus gagal memikat hati Santos.

Nani, 31, yang juga pemain ketiga dengan rekod penampilan terbanyak di belakang Ronaldo dan Luis Figo dengan 112 penampilan, hanya bermain 24 perlawanan bersama Lazio.

"Daripada aspek kemanusiaan, adalah amat sukar menyisihkan pemain yang bersama kami pada Euro 2016," kata pengendali berusia 63 tahun itu.

"Mereka semua memberi sumbangan dalam mencipta sejarah bola sepak Portugal. Tapi saya perlu buat pilihan untuk menjadikan ia lebih baik." - AFP

Info: Skuad Portugal

Penjaga gol: Anthony Lopes (Lyon/FRA), Beto (Goztepe/TUR), Rui Patricio (Sporting Lisbon)

Pertahanan: Bruno Alves (Glasgow Rangers/SCO), Cedric Soares (Southampton/ENG), José Fonte (Dalian Yifang/CHN), Mario Rui (Napoli/ITA), Pepe (Besiktas/TUR), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund/GER), Ricardo Pereira (FC Porto), Ruben Dias (Benfica)

Tengah: Adrien Silva (Leicester City/ENG), Bruno Fernandes (Sporting Lisbon), Joao Mario (West Ham/ENG), Joao Moutinho (Monaco/FRA), Manuel Fernandes (Lokomotiv Moscow/RUS), William Carvalho (Sporting Lisbon), Bernardo Silva (Manchester City/ENG)

Penyerang: Andre Silva (AC Milan/ITA), Cristiano Ronaldo (Real Madrid/ESP), Gelson Martins (Sporting Lisbon), Goncalo Guedes (Valencia/ESP - dipinjamkan dari Paris Saint-Germain/FRA), Ricardo Quaresma (Besiktas/TUR)

 

 

Berita Harian X