Rabu, 16 Mei 2018 | 12:15pm
 PAULO Rangel. - Foto Roslin Mat Tahir
PAULO Rangel. - Foto Roslin Mat Tahir

Rangel mampu perkasa Kedah

ALOR SETAR: Bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyambut baik hasrat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendapatkan khidmat pemain berpengalaman Paulo Rangel bagi memantapkan jentera serangan skuad Lang Merah pada tempoh jendela perpindahan kedua yang sudah bermula sejak 7 Mei lalu.

 Beliau yakin aura dan kemampuan Rangel yang pernah menyinar dalam liga Malaysia dari 2013 hingga 2016, mampu membawa kekuatan baharu untuk pasukan Kedah yang mengharapkan seorang penjaring berbisa pada musim ini bagi menggantikan Pablo Pallares.

 "Secara praktikalnya corak permainan Rangel sebagai penyerang mampu jadi senjata pemusnah untuk pasukan Kedah.

"Saya yakin jika Rangel dipilih, beliau mampu memberi impak yang dicari-cari skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff yang selama ini beraksi tanpa penyerang sejati sejak awal musim lag dan seandainya berjaya dipilih, saya percaya corak serangan Kedah akan dapat dipertingkatkan.

"Kedah harus memanfaatkan kebolehan, pengalaman dan ketangkasan yang ada pada Rangel untuk menghasilkan lebih banyak gol seperti yang disasarkan dan ini penting dalam usaha menambah mata dalam carta liga ketika Kedah kini sekadar di tangga keenam dengan 15 mata," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azraai yang merupakan individu serta jurulatih awal yang memilih Rangel ke dalam pasukan Perak ketika mengendalikan pasukan itu pada 2013, optimis penyerang yang sedang beraksi bersama kelab Liga 1 Thai Nakhon Ratchashima mampu hadir dengan prestasi terbaiknya pada musim ini berdasarkan pengalaman beliau.

 "Sewaktu membuat keputusan untuk membawa dia beraksi dahulu, saya sudah menjangkakan dia mampu mencipta nama dalam Liga Malaysia dan kita boleh lihat kejayaan itu berterusan yang dibuktikannya kini bersama kelab di Thailand sejak tahun 2017.

"Paling penting bila menyertai Kedah adalah keserasian pemain bersama pemain Kedah dalam melancarkan gerakan jentera serangan terutama dari bahagian tengah dan kombinasi dengan pemain lain seperti Sandro Da Silva, Liridon Krasniqi, Syazwan Zainon, Baddrol Bakhtiar, Andik Vermasyah dan lain-lain pasti mampu menggegar gol lawan," katanya.

Azraai merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam kemasukan pemain import yang menyinar seperti Gilmar Jose, Wander Luiz, Leandro Dos Santos, Austin Amutu dan beberapa pemain lagi ke Liga Malaysia sebelum ini. 

KFA pada minggu lalu memaklumkan Rangel merupakan calon utama selain dua lagi calon lain iaitu bekas pemain Macerra Kuantan FA Zarko Korac dan pemain kelab Wellington Phoenix FC di liga Australia yang bakal menyarung jersi penyerang utama skuad Lang Merah.

Berita Harian X