Ahad, 13 Mei 2018 | 2:22pm
KETUA jurulatih Selangor, Muhamad Nazliazmi Mohamad Nasir. - Foto Owee Ah Chun
KETUA jurulatih Selangor, Muhamad Nazliazmi Mohamad Nasir. - Foto Owee Ah Chun

Gol penyamaan mudah sangat

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) disifatkan bernasib baik selepas berjaya mencuri satu mata susulan terikat 2-2 menentang Selangor dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Ia selepas jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir mengakui jaringan penyamaan yang diperoleh skuad Harimau Selatan itu sebagai terlalu mudah sekali gus menafikan hasrat mereka untuk mencipta kejutan ke atas pelawat apabila mendahului 2-1 selepas tamat babak pertama.

"Syukur kerana tidak tewas dan tercicir mata, sekurang-kurangnya memperoleh satu mata. Kami hampir memenangi perlawanan tapi masih lagi faktor kelekaan di barisan pertahanan.

"Gol penyamaan JDT pada babak kedua itu terlalu mudah. Pertahanan kami tidak memberi cukup tekanan kepada Gonzalo Cabrera untuk memberi ruang kepadanya membuat hantaran cantik.

"Kombinasi Willian Pacheco dan Alfonso De La Cruz juga tidak begitu baik dalam menangani hantaran Cabrera itu, lantas membenarkan Harry Novillo melakukan tandukan tepat ke pintu gol," kata Nazliazmi pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Selangor bangkit daripada ketinggalan seawal minit kedua apabila meledak dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Saiful Ridzuwan Selamat dan Rufino Segovia namun tandukan Novillo pada babak kedua menyaksikan kedudukan berakhir 2-2.

Bagaimanapun, Nazliazmi menjelaskan anak buahnya tetap memperagakan peningkatan positif selepas mengambil kira pemainnya berjaya menyekat rentak kemenangan dalam enam perlawanan yang dilakar pasukan penuh bintang itu sebelum ini.

"Secara keseluruhan persembahan malam ini, ada peningkatan positif dalam pasukan. Pemain menunjukkan kesungguhan, usaha, fokus dan kerjasama sepasukan yang baik.

"Kami sentiasa mahukan yang terbaik untuk pasukan dan Selangor perlu lebih bersedia menghadapi baki saingan kerana jika anda lihat, cabaran dalam setiap perlawanan liga musim ini cukup sengit.

"Cuma saya harap akan ada penambahbaikan lagi dalam pasukan jika kami melakukan pertukaran import atau pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua ini," katanya.

Berita Harian X