Khamis, 10 Mei 2018 | 3:42am
SIR Alex Ferguson
SIR Alex Ferguson

Ferguson tidak lagi di unit rawatan rapi

LONDON: Manchester United mengesahkan bekas pengurus legendanya, Sir Alex Ferguson sudah keluar daripada unit rawatan rapi susulan pembedahan kecemasan gara-gara pendarahan otak.

Ferguson, 67, dikejarkan ke Hospital Salford Royal bagi menjalani prosedur pembedahan, Sabtu lalu selepas terjatuh di kediamannya berdekatan Manchester.

"Sir Alex tidak lagi memerlukan rawatan rapi dan akan meneruskan proses pemulihan di dalam hospital," kata United dalam satu kenyataan.

"Keluarganya cukup berbesar hati dengan sokongan dan ucapan selamat yang diterima tetapi meminta supaya privasi mereka terus dihormati kerana ia penting untuk tahap pemulihannya selepas ini."

Kenyataan United mengenai perkembangan Ferguson adalah yang pertama dikeluarkan kelab berkenaan sejak berkata proses pembedahan akibat pendarahan otak itu berjalan "amat baik" pada Sabtu lalu.

Dianggap pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak British, Ferguson memenangi 38 trofi utama dalam tempoh 26 tahun mengendalikan United termasuk menjulang 13 gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara sebelum bersara pada 2013. - AFP

Berita Harian X