Selasa, 8 Mei 2018 | 11:25am
PEMAIN JDT II, Nicolas Alberto Fernandez diasak pemain Sarawak, Shazalee Ramlee pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Johor Bahru, malam tadi. - Foto BERNAMA
PEMAIN JDT II, Nicolas Alberto Fernandez diasak pemain Sarawak, Shazalee Ramlee pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Johor Bahru, malam tadi. - Foto BERNAMA

Fernandez perkasa kembali JDT II

JOHOR BAHRU: Penampilan semula pemain import Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Nicolas Fernandez yang menguatkan posisi tengah menjadi faktor utama pasukan itu mencipta kemenangan pertama, menewaskan Sarawak 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Malah pengendali JDT II, Benjamin Mora menyifatkan Fernandez merupakan nadi utama skuad itu meleraikan badi tanpa kemenangan selepas mengharungi 10 perlawanan dan ia kebangkitan skuad Merah Biru kembali bersaing dalam saingan liga.

Katanya, kelibat Fernandez bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika pasukan itu kehilangan dua import nyata menambah pengalaman dan kualiti permainannya yang jelas lebih konsisten dan berjaya menggerakkan jentera tengah.

"Ya..Nicolas (Fernandez) memainkan peranan penting untuk kita melakar kemenangan pertama malah dia tahu cara permainan JDT II dan memahami kehendak rakan sepasukan apabila mampu melaksanakan tugas selaku pemain tengah.

"Malah rakan sepasukan percayakan Nicolas dan ia beri kesan positif dalam pasukan apabila berjaya membentuk persefahaman jitu dan saya bangga dengan komitmennya serta semua pemain yang bertungkus lumus bagi memastikan tiga mata pertama.

"Apa yang penting, kemenangan itu melonjakkan kembali keyakinan setiap pemain yang saya akui kecewa kerana belum mencipta kemenangan walaupun sudah memberikan persembahan terbaik sepanjang sembilan perlawanan lalu," katanya.

Mengulas kegagalan pemain import baharu, Lucas Ontivero yang sepatutnya diturunkan selepas jendela perpindahan kedua dibuka semalam, Mora menegaskan beberapa perkara terutama dokumen pemain import itu perlu diselesaikan.

Menurutnya, Ontivero sudah menjalani latihan bersama JDT II sejak empat hari lalu dan hanya menunggu Sijil Perpindahan Antarabangsan (ITC) dari kelab lamanya, Atletico Chacarita Juniors dan jika semua urusan selesai, pemain itu akan diturunkan dalam pertemuan menentang Sabah, Jumaat ini.

"Lucas akan diturunkan menentang Sabah dan saya optimis segala urusan mengenai ITC dapat diselesaikan secepat mungkin. Saya percaya dia akan menguatkan lagi jentera serangan dan kami idamkan kemenangan kedua tatkala beraksi di laman sendiri," kata Mora.

Berita Harian X