Selasa, 8 Mei 2018 | 12:38am
Pemain JDT II, Che Rashid Che Halim (kiri) diasak pemain Sarawak, Benedict Martin ketika perlawanan Liga Perdana 2018 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Ftoo Mohd Azren Jamaludin
Pemain JDT II, Che Rashid Che Halim (kiri) diasak pemain Sarawak, Benedict Martin ketika perlawanan Liga Perdana 2018 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Ftoo Mohd Azren Jamaludin

JDT II lakar kemenangan pertama

PASIR GUDANG: Badi tanpa kemenangan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) akhirnya terlerai selepas menewaskan Sarawak 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Kemenangan itu pasti melegakan ketua jurulatih Benjamin Mora walaupun tidak dapat menurunkan pemain import baharu, Lucas Ontivero yang sekadar menjadi penonton selepas baru sahaja tiba ke Johor.

Percubaan pertama tuan rumah hadir seawal minit kelapan selepas Che Rashid Che Halim berjaya melepasi dua pertahanan pelawat namun bola rembatan kaki kiri begitu lemah dan mudah ditangkap kemas penjaga gol, Firdaus Muhamad.

Nicolas Fernandez yang kembali menguatkan skuad Merah Biru selepas bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki peluang terbaik selang dua minit kemudian apabila menerima bola umpanan Darren Lok namun rembatan pemain import dari Argentina itu sedikit tersasar dari gawang gol.

Tatkala berlaku kekalutan di dalam kotak penalti Fernandez mudah menolak bola ke gawang yang terbuka pada minit ke-14 selepas Hadi Fayyadh Abdul Razak bertindak mengumpan bola ketika Firdaus yang tertewas sekadar melihat bola menerjah jaring.

Serangan balas anak didik Ian Gillian pada minit ke-42 mencemaskan benteng tuan rumah apabila bola rembatan deras Milos Raikovic dari jarak 25 meter ditepis penjaga gol, Haziq Nadzli namun dia sempat menangkap semula bola ketika Bobby Gonzales hampir menyambar bola muntah.

Bersambung babak kedua, pelawat mula menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun masih belum mampu menewaskan benteng pertahan yang diterajui Bruno Soares dan Adib Zainuddin.

Fernandez hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-71 apabila sepakan percuma dari jarak 20 meter melencong tepat ke penjuru kanan gol sehingga memaksa Firdaus melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Ketika aksi memasuki minit ke-80 hasil sepakan sudut Fernandez membuka ruang buat Hafiz Haikal Ismail yang merembat kencang bola menewaskan Firdaus dan jaringan itu memastikan kemenangan pertama buat skuad Merah Biru.

Berita Harian X