Isnin, 7 Mei 2018 | 5:47pm
KUALA LUMPUR 06 MEI 2018. Ketua jurulatih PKNK FC, Abu Bakar Fadzim ketika sidang media selepas perlawanan Selangor dengan PKNP FC pada liga super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. STR/OWEE AH CHUN.
KUALA LUMPUR 06 MEI 2018. Ketua jurulatih PKNK FC, Abu Bakar Fadzim ketika sidang media selepas perlawanan Selangor dengan PKNP FC pada liga super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. STR/OWEE AH CHUN.

Pemain tempatan selamatkan PKNP FC

KUALA LUMPUR: Jika tidak kerana kehebatan pemain tempatan, PKNP FC tidak mampu memberi saingan dalam kempen Liga Super musim ini.   

Ia diakui pengendalinya, Abu Bakar Fadzim selepas menyaksikan awang importnya di bahagian serangan langsung tidak menjadi setakat ini.   

Penyerang dari Kemboja Keo Sokpheng sudah tiada dalam skuad, manakala gandingan Franklin Clovis Anzite dari Afrika Tengah dan Yeon Gi-Sung (Korea Selatan) pula  gagal menyerlah.   

Prestasi Gi-Sung lebih teruk apabila sudah sembilan perlawanan liga kemarau jaringan termasuk ketika seri 1-1 menentang Selangor, malam tadi.   

Abu Bakar berkata, beliau sudah mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pengurusan untuk membawa masuk pemain import baharu bagi memastikan mereka mampu memberikan cabaran dalam baki 13 perlawanan liga.   

"Pemain import belum menjadi, setakat ini pemain tempatan yang berjaya menggalas tugas dengan baik. Sharel Fikri dan Hafiz Ramdan yang benar-benar menjadi.   

"Bila sembilan perlawanan tidak menjaringkan gol (Gi-Sung), ia memberi bebanan kepada pemain tempatan untuk memikul tugas itu. Saya sudah membuat cadangan bagi pemain baharu di tiga posisi kerana kita nak perkuatkan pasukan. 

Ini musim pertama kita tapi kita tidak mahu tersingkir, kalau boleh kita nak menamatkan kempen di tangga pertengahan liga," katanya dalam sidang selepas perlawanan.   

PKNP kini berjaya menduduki tangga ketujuh liga, selepas mengutip satu mata dalam perlawanan kesembilan menentang Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.  

Hafiz menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan, beberapa saat sebelum pengadil meniup wisel penamat.

"Kami bertuah, pada saat akhir kami dapat menjaringkan gol. Tapi pada separuh masa pertama, kami ada empat peluang terbaik dan sekurang-kurangnya dua daripadanya boleh menepati sasaran," jelas Abu Bakar.

Berita Harian X