Ahad, 6 Mei 2018 | 5:16am
GAMBAR fail, Bekas Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson sebelum perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan Everton di Old Trafford di Manchester pada Oktober 2014. - Foto EPA-EFE
GAMBAR fail, Bekas Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson sebelum perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan Everton di Old Trafford di Manchester pada Oktober 2014. - Foto EPA-EFE

Ferguson alami pendarahan otak

LONDON: Alex Ferguson, pengurus paling berjaya dalam sejarah Manchester United menjalani pembedahan kecemasan hari ini berikutan pendarahan otak, menurut kelab berkenaan.

"Prosedur berjalan lancar namun beliau perlukan rawatan rapi untuk tempoh tertentu bagi mengoptimumkan proses penyembuhannya," menurut kenyataan itu.

"Keluarganya memohon privasi berhubung perkara ini."

Kapten United Michael Carrick menerusi Twitter berkata: "Saya benar-benar pilu mendengarkan Sir Alex tidak sihat di hospital. Doa dan ingatan saya buatnya dan keluarga. Semoga kuat bos."

Anak Ferguson Darren, pengurus Doncaster Rovers, dilaporkan tidak mengendalikan perlawanan hari ini susulan urusan keluarga.

Bekas pengurus berusia 76 tahun itu pernah menerajui United dari 1986 hingga 2013, menjuarai Liga Juara-Juara dua kali, Liga Perdana 13 kali dan lima kali menjulang Piala FA.

Beliau dianugerahkan gelaran Sir pada 1999, pada tahun United menjulang trebel degan memenangi ketiga-tiga trofi pada satu musim.

Beliau membina reputasinya di negara asalnya Scotland bersama Aberdeen, menjulang tiga gelaran Liga Scotland dan Piala Pemenang-pemenang Piala Eropah.

Selepas membawa Scotland ke Piala Dunia 1986 susulan kematian Jock Stein, Ferguson menyertai United pada November 1986 selepas Ron Atkinson dipecat.

Beliau  memerlukan tiga setengah tahun untuk mencatat kejayaan pertamanya bersama United dengan Piala FA pada 1990.

Beliau bagaikan sukar dihalang selepas itu, pantas mencapai cita-citanya menyingkirkan Liverpool dari puncak untuk menjadikan United pasukan pilihan pada 1990-an dan seterusnya.

Pada 2001 beliau memutuskan untuk meninggalkan kelab setahun kemudian namun dipujuk keluarganya untuk mengubah fikiran dan kekal sehingga 2013. - Reuters

 

 

Berita Harian X