Sabtu, 5 Mei 2018 | 7:07pm

Pinda kerana permintaan pasukan: MFL

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tampil menjelaskan pindaan tarikh jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dilakukan atas permintaan pasukan bertanding.

Penjelasan itu dibuat selepas pindaan jendela perpindahan yang pada asalnya akan dibuka 14 Mei hingga 10 Jun depan ditukar kepada Isnin ini hingga 3 Jun dipertikai beberapa pihak khususnya peminat bola sepak tempatan.

Mereka mendakwa pindaan tarikh berkenaan dibuat kerana MFL ingin memberi keistimewaan terhadap pasukan tertentu untuk mendaftarkan pemain baharu lebih awal daripada tarikh asal yang ditetapkan badan pengelola Liga M itu.

Namun, MFL menafikan dakwaan berkenaan dengan menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapat kelulusan pada mesyuarat Lembaga Pengarah badan induk terbabit, 5 Mac lalu.

"Lembaga Pengarah MFL yang membabitkan wakil pasukan sebulat suara membuat keputusan untuk meminda tarikh berkenaan kepada kepada 7 Mei hingga 3 Jun.

"Ia berikutan permintaan daripada pasukan yang mahukan perpindahan berlaku pada titik tengah Liga M. MFL sudah mengeluarkan surat kepada 24 pasukan Liga M berkait keputusan ini pada 12 Mac lalu.

"Semua keputusan berkaitan Liga M begini dibuat Lembaga Pengarah MFL yang membabitkan wakil pasukan," kata MFL dalam kenyataan, malam tadi.

Jendela perpindahan kedua bakal menyaksikan beberapa pasukan melakukan perubahan dalam skuad masing-masing terutama Pahang yang mahu mendapatkan Francis Forkey Doe selepas bekas pemain Selangor itu dibelenggu masalah kecederaan serius sejak Mac lalu.

Namun, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak mendahului pasukan lain apabila sudah mengikat beberapa pemain termasuk Jorge Silva, Kiko Insa dan Lucas Ontivero.

JDT yang juga juara Liga Super empat kali berturut-turut kekurangan import selepas kehilangan khidmat pemain kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz sejak Februari lalu.

Berita Harian X