Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:06pm
JDT mengesahkan sudah mengikat penyerang import baharu dari Brazil, Jorge Santos Silva.
JDT mengesahkan sudah mengikat penyerang import baharu dari Brazil, Jorge Santos Silva.

Silva senjata baru JDT

KUALA LUMPUR: Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil langkah pantas apabila mengesahkan sudah mengikat penyerang import baharu dari Brazil, Jorge Santos Silva.

Pemain berusia 31 tahun itu akan menyertai skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) bermula Isnin ini hingga 3 Jun depan.

Perkara itu disahkan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi kenyataan di laman Facebook, Johor Southern Tigers, hari ini sambil menjelaskan perpindahan Silva mendapat persetujuan kelab lamanya, Al-Batin FC.

"Kelab sudah mencapai persetujuan dengan Al-Batin dari Arab Saudi atas perpindahan Jorge Santos Silva. Dia akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

"Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain berkaliber dan pemain yang dahagakan pencapaian terbaik serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang dan sentiasa mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya dalam segala aspek," kata Prest.

Kehadiran Silva menjadi senjata baharu buat Harimau Selatan yang kehilangan penyerang Argentina, Jorge Pereyra Diaz sejak Februari lalu.

Silva mungkin menjadi pemain ketiga terbaru JDT selepas Kiko Insa dan bekas pemain Lyon, Harry Novillo yang sudah menyertai latihan bersama skuad kendalian Raul Longhi sejak minggu lalu.

Malah, Sukan NSTP sebelum ini melaporkan Kiko yang juga adik tonggak tengah JDT, Natxo Insa mengesahkan sudah menandatangani kontrak dua tahun bersama JDT.

Mengenai Novillo, Prest sebelum ini sudah mengumumkan hasrat JDT untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu bagi jendela perpindahan kedua.

"Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang bermain di Dubai ketika ini," kata Prest dalam kenyataannya pada 29 Mac lalu.

Berita Harian X